Ketua ISIS bakar juruterbang Jordan ditahan - Berita Dunia | mStar

Ketua ISIS bakar juruterbang Jordan ditahan

Diterbitkan: Rabu, 16 Mei 2018 9:10 AM

(Ubah saiz teks)

KETUA ISIS yang dipercayai membakar seorang juruterbang warga Jordan hidup-hidup telah ditahan bersama empat lagi anggota kanan kumpulan militan itu.

Saddam al-Jamal yang juga warga Syria ditahan di Iraq minggu lalu.

Penahanan itu dilakukan pegawai risikan Syria menggunakan telefon bimbit Ismail al-Athawi, seorang leftenan ISIS yang berjaya ditangkap pada Februari lalu.

Diangkat sebagai pemimpin masa depan kumpulan militan, al-Jamal dikenali kerana kekejamannya.

Pihak berkuasa Jordan mendakwa dia terlibat dalam pembunuhan kejam juruterbang Muath al-Kasasbeh pada 2015.

Pesawat yang dikendalikan al-Kasasbeh ditembak jatuh di Raqqa, Syria pada Disember 2014.

Beberapa minggu kemudian, ISIS mendedahkan sebuah video menunjukkan juruterbang itu dibakar hidup-hidup di dalam sangkar.

Al-Jamal yang juga bekas komander dalam angkatan Tentera Bebas Syria (FSA) ketika bertempur menentang tentera Presiden Bashar al-Assad turut terbabit dalam pembunuhan beramai-ramai di Deir Ezzor, Syria.

Dia turut mengarahkan pembunuhan kanak-kanak, ada kalanya di hadapan ibu bapa mereka.

Tags / Kata Kunci: ISIS , Saddam al-Jamal
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan