Ribut pasir ragut 100 nyawa, lebih 140 cedera - Berita Dunia | mStar

Ribut pasir ragut 100 nyawa, lebih 140 cedera

Diterbitkan: Jumaat, 4 Mei 2018 11:21 AM

(Ubah saiz teks)

RIBUT pasir membadai utara India hingga meragut sekurang-kurangnya 100 nyawa dan mengakibatkan lebih 140 cedera apabila bencana ini memusnahkan ratusan rumah.

Kekecohan melanda apabila angin dengan kelajuan lebih 130km/j melanda Uttar Pradesh, Rajasthan dan Punjab.

Pihak berkuasa menganggarkan angka kematian akan meningkat.

Kebanyakan mangsa maut ketika sedang tidur apabila ribut pasir meranapkan kediaman mereka.

Dinding rumah, pokok dan tiang elektrik di sekitar kawasan terlibat runtuh akibat ribut yang disusuli dengan petir.

Pemilik resort di daerah Alwar, Rajasthan, Shivam Lohia berkata, dia terpaksa meninggalkan keretanya di tepi jalan dan keluar melarikan diri apabila ribut itu hampir menerbangkan kenderaan itu.

"Saya tidak pernah melihat ribut seperti ini sejak sekurang-kurangnya 25 tahun. Semua orang ketakutan dan berlari mencari tempat selamat.

"Ia umpama mimpi ngeri, sungguh menakutkan," katanya.

Angka kematian yang disahkan adalah 65 di Uttar Pradesh, 33 di Rajasthan manakala dua lagi di Punjab.

Daerah Agra juga dilanda ribut ini hingga mengakibatkan 40 penduduknya maut, bagaimanapun tragedi ini tidak memusnahkan binaan Taj Mahal.

Sementara itu, Komisioner Uttar Pradesh, T.P. Gupta berkata, diramalkan ribut itu akan melanda lagi dalam tempoh 48 jam.-SMCP



Tags / Kata Kunci: Uttar Pradesh , Agra
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan