Bapa berjuang selamatkan anak, di luar hospital penyokong nampak... - Berita Dunia | mStar

Bapa berjuang selamatkan anak, di luar hospital penyokong nampak...

Diterbitkan: Isnin, 30 April 2018 4:57 PM

(Ubah saiz teks)

BAPA kepada seorang bayi dilaporkan berjuang untuk menyelamatkan anaknya dengan memberi bantuan pernafasan mulut ke mulut sebelum bayi itu menghembuskan nafas terakhir.

Tom Evans, 21, dikatakan telah menghabiskan masa selama 10 minit berusaha menyelamatkan anaknya, Alfie Evans yang menghidap penyakit degeneratif yang jarang dihidapi, sebelum terpaksa menerima hakikat anaknya itu telah pergi buat selamanya.

Di luar hospital, ramai penyokongnya menangis sambil menyanyikan lagu 'You’ll Never Walk Alone' dan melepaskan belon biru dan ungu ke udara sebaik sahaja mendapat khabar duka itu.

Ketika itu juga, sesetengah penyokong mendakwa melihat wajah bayi lelaki itu di awan.

Alfie mampu bertahan selama lima hari selepas tidak menggunakan alat bantuan pernafasan. Beberapa bulan sebelum itu ibu bapanya berdepan konflik melibatkan doktor serta mahkamah dan kesnya mendapat perhatian ramai.

Seorang saudara memberitahu Mirror: "Hari itu amat sukar kerana Alfie susah bernafas sejak awal pagi. Dia bertindak balas, kami fikir semuanya akan OK.

"Tetapi pada jam 1.30 pagi kami dapat panggilan meminta kami kembali ke hospital."

Mereka memberitahu bagaimana Tom 'menghembus dan terus menghembus' tetapi akhirnya dia tidak mampu untuk menyelamatkan anaknya.

Evans dan isterinya Kate James memangku Alfie yang berusia 23 bulan ketika dia meninggal dunia pada jam 2.30 pagi Sabtu di Hospital Kanak-Kanak Alder Hey di Liverpool.

Pasangan itu kemudian dilaporkan tertidur di sisi anak mereka untuk menghabiskan beberapa jam terakhir dengannya.

Evans yang sangat bersedih atas kehilangan anaknya berkongsi khabar duka itu dengan menulis di kumpulan sokongan Alfie's Army: "Gladiator saya telah meletakkan perisainya dan memperoleh sayapnya pada jam 2.30 pagi... benar-benar patah hati. Saya sayang kamu."

Rakan keluarga, Laura McKenzie berkata: "Tom dan Kate benar-benar menghargai semua orang yang datang dan menunjukkan rasa kasih mereka.

"Seluruh dunia menunjukkan betapa mereka menyayangi Alfie dan kami tidak akan pernah melupakannya."


   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan