Lagi mangsa rogol maut, kepala dihentak batu - Berita Dunia | mStar

Lagi mangsa rogol maut, kepala dihentak batu

Diterbitkan: Jumaat, 20 April 2018 9:29 AM

(Ubah saiz teks)

RAIPUR: Seorang pemuda mengaku merogol dan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan menghentak kepalanya menggunakan batu, dalam satu lagi kejadian jenayah yang menggemparkan India.

Kejadian berlaku di sebuah kampung di Kabirdham di daerah Chhattisgarh, Rabu.

Mayat mangsa ditemui di sebatang anak sungai yang kering di pinggir kampung tersebut.

Polis berkata, mangsa dan suspek berusia 25 tahun merupakan tetamu majlis perkahwinan yang berlangsung di kampung berkenaan.

Mangsa mempunyai pertalian darah dengan keluarga pengantin perempuan, manakala suspek pula adalah sahabat baik kepada pengantin lelaki.

"Suspek telah memujuk dan membawa mangsa ke tempat sunyi ketika tetamu lain sedang sibuk.

"Suspek kemudian merogol mangsa sebelum membunuhnya" kata jurucakap polis.

Sepanjang minggu lalu, India digemparkan dengan beberapa jenayah rogol dan bunuh membabitkan mangsa kanak-kanak.

Kes paling mendapat liputan meluas ialah kes rogol Asifa Bano.

Budak perempuan berusia lapan tahun dari komuniti Islam Bakarwal itu diculik selama lima hari, diberi ubat pelali dan dirogol berulang kali oleh lapan suspek sebelum dibunuh.

Kes berkenaan mencetuskan kemarahan orang ramai di seluruh negara termasuk beberapa pelakon terkenal Bollywood yang mahu kesemua tertuduh dijatuhi hukuman setimpal. - NDTV

Tags / Kata Kunci: Raipur , rogol , Kabirdham
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan