Jenaka media sosial kurangkan tekanan warga Jakarta - Berita Dunia | mStar

Jenaka media sosial kurangkan tekanan warga Jakarta

Diterbitkan: Jumaat, 20 April 2018 2:27 PM

(Ubah saiz teks)

KESESAKAN trafik dan beban kerja merupakan dua perkara yang sering menjadi rungutan warga kota Jakarta.

Dalam kesukaran itu, mereka masih lagi mampu ketawa dengan wujudnya akaun-akaun laman sosial yang sering membuat perkongsian kelakar.

Menurut kajian yang dijalankan oleh We Are Social and Hootsuite yang diterbitkan pada 30 Januari lalu, terdapat 130 juta pengguna internet di negara itu, 49 peratus daripadanya  aktif di laman sosial.

Secara purata, mereka menghabiskan hingga tiga jam setengah untuk media sosial setiap hari.

Youtube, Facebook, WhatsApp dan Instagram merupakan aplikasi media sosial paling popular di negara itu.

Dengan lebih 53 juta pengguna Instagram di Indonesia, salah satu akaun popular ialah @overheardjkt yang mempunyai lebih 74,000 pengikut.

Akaun itu sering membuat posting mengenai dialog perbualan yang diambil dari seluruh negara itu.

Diandra Septa, 25, seorang pekerja servis tempahan dalam talian berkata, dia mula mengikuti akaun itu setelah diperkenalkan oleh rakannya.

"Banyak posting kelakar yang boleh saya 'relate' dari akaun @overheardjkt.

"Malah, saya dan kawan saya selalu buka akaun ini dan ketawa sama-sama," ujar Diandra.

Akaun yang dilancarkan pada Februari 2016 itu dikendalikan oleh Amira Dayanara dan Irene Pitarani.

Mereka berdua merupakan lepasan dari sebuah universiti di Los Angeles, Amerika Syarikat dan mendapat ilham dari akaun @overheardLA.

"Bukanlah kami menggalakkan orang ramai supaya pasang telinga mendengar perbualan orang lain.

"Tapi kadang-kadang kita terdengar perbualan orang. Mesti ada yang lucu, maka ia dijadikan bahan lawak di akaun ini," ujar Amira.

Seorang lagi pengikut akaun itu, Dhamarista Intan, turut jatuh cinta dengan akaun itu kerana bahan yang dimuat naik banyak berkait dengan dirinya.

Diandra dan Dhamarista mengikuti akaun @overheardjkt dan banyak lagi akaun seumpamanya untuk mencari bahan ketawa setelah seharian bekerja.-TheJakartaPost


Tags / Kata Kunci: Jakarta , overheardjkt
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan