Lelaki ini beli kereta buruk untuk trip 161km atas sebab yang 'masuk akal' - Berita Dunia | mStar

Lelaki ini beli kereta buruk untuk trip 161km atas sebab yang 'masuk akal'

Diterbitkan: Isnin, 16 April 2018 11:26 AM

-foto Tom Church

(Ubah saiz teks)

SEORANG lelaki muda telah berjaya melakukan sesuatu yang luar biasa tetapi atas sebab yang 'masuk akal'.

Tom Church, 27, dari London, ingin melawat seorang rakannya di Bristol, yang jaraknya hanya 161km dari tempatnya, tetapi mempunyai masalah dengan tiket kereta api yang mahal.

Setelah melihat gambar tiket kereta api berharga £218 (RM1,208.50) untuk laluan tersebut yang dimuat naik di Reddit, Church marah sambil mendapat inspirasi untuk satu alternatif yang lebih murah.

Selepas melakukan kaji selidik, dia mendapati trip yang dirancang akan menjadi lebih murah jika dia membeli kereta terpakai.

"Saya jumpa kereta itu di Gumtree," kata Church.

"Wanita yang menjualnya, Sutinder, sebenarnya menjualnya sebagai sekerap. Ia adalah kereta yang sangat lama, Honda Civic tahun 1997, tetapi keadaanya baik saja. Malah kuasa enjinnya juga kecil jadi saya boleh mendapatkan cukai jalan paling murah, iaitu minimum enam bulan pada harga £81.38 (RM451.14).

"Jumlah kos keseluruhan ialah £206.81 (RM1,146.47). Kurang dari harga satu tiket kereta api. Dan kereta itu akhirnya menjadi milik saya."

Kereta itu dijual pada harga hanya £80 (RM443.49), tetapi dia juga perlu menghabiskan £81.38 (RM451.14) untuk cukai jalan, £20.43 (RM113.26) untuk insurans satu hari dan £25 (RM138.59) untuk petrol.

Tiket pergi balik pada waktu puncak dari London ke Bristol menelan kos antara £210 (RM1,164.15) hingga £218.10 (RM1,208.50) jadi cara yang digunakan Church adalah beberapa pound lebih murah.

"Ya, harganya masih mahal. Saya mahu menunjukkan bagaimana gilanya harga tiket kereta api," kata Church.

"Kadang-kadang anda perlu berfikir di luar kotak untuk menjimatkan wang. Bagaimanapun, saya mengaku ini bukan kaedah yang paling murah.

"Anda boleh menempah tiket awal dan bukan pada waktu sibuk untuk tiket murah. Anda juga mungkin boleh guna 'railcard'.

"Tetapi bagi kita yang tidak berpeluang melakukannya, kenapa syarikat kereta api terus menutup peluang kami?."

Church, yang merupakan pengasas bersama laman web kod baucar LatestDeals berkata dia mungkin akan menjual kereta terpakainya selepas perjalanan sejauh 100 batu itu.

Disebabkan dia boleh menuntut kembali cukai jalan yang tidak digunakan, dia juga mungkin akan membuat satu lagi keuntungan.

Tags / Kata Kunci: Tom Church , tiket mahal
   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan