Ganja 540kg hilang, alasan "dimakan tikus" bawa padah - Berita Dunia | mStar

Ganja 540kg hilang, alasan "dimakan tikus" bawa padah

Diterbitkan: Jumaat, 13 April 2018 10:49 AM

(Ubah saiz teks)

BEBERAPA pegawai polis telah dipecat selepas mendakwa tikus telah memakan kira-kira setengah tan ganja yang 'hilang' dalam gudang yang mengumpulkan pelbagai barangan yang dirampas pasukan keselamatan itu.

Anggota pasukan keselamatan di Pilar, Argentina itu telah disoal siasat susulan kehilangan 540 kilogram (kg) bahan terlarang itu.

Hasil rampasan itu disimpan dalam gudang berkenaan selama dua tahun apabila ia tiba-tiba hilang.

Keseluruhannya sebanyak 6,000 kg ganja didaftar di gudang itu dua tahun lalu, bagaimanapun pemeriksaan tahun ini mendapati bakinya hanya 5,460 kg.

Pasukan penyiasat mengesyaki kejadian itu mempunyai kaitan dengan bekas pesuruhjaya polis, Javier Specia yang telah memilih untuk berhenti kerja pada 2017.

Menurut The Guardian, ketika melakukan pemeriksaan inventori di gudang berkenaan, Specia meninggalkan lokasi itu tanpa menandatanganinya. Pegawai kanan itu kemudiannya meninggalkan khidmatnya di pasukan itu.

Penggantinya, pesuruhjaya Emilio Portero mengesan kekurangan dadah itu dan melaporkannya kepada bahagian hal ehwal dalaman pasukan itu, sebelum pemeriksaan rapi dijalankan di sekitar gudang berkenaan.

Ketika dihadapkan ke mahkamah dan berdepan Hakim Adrian Gonzalez Charvay, Specia bersama tiga anggota polis telah memberi alasan yang sama mengenai kehilangan ganja berkenaan iaitu "dimakan tikus".

Kehadiran pakar termasuk dari Universiti Buenos Aires mengesahkan haiwan itu tidak akan memakan sejumlah besar dadah dan jika ia berlaku tentunya mamalia itu akan ditemui mati di sekitar gudang itu.

Susulan itu, hakim dijangka memanggil semua suspek ke mahkamah pada 4 Mei dan menetapkan kejadian itu kerana kecuaian.

Specia dijangka berdepan siasatan dalaman pasukan keselamatan, kerana dia juga didapati masih belum mengisytiharkan penyata pendapatannya untuk 2017.

Tags / Kata Kunci: ganja , Pilar , tikus
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan