Wanita 23 tahun sempat selfie lepas bergelut lawan harimau - Berita Dunia | mStar

Wanita 23 tahun sempat selfie lepas bergelut lawan harimau

Diterbitkan: Sabtu, 7 April 2018 10:11 AM

-foto (harimau) BERNAMA

(Ubah saiz teks)

SEORANG wanita berumur 23 tahun bergelut melawan seekor harimau hanya menggunakan sebatang kayu selepas haiwan itu menyerang kambingnya.

Rupali Meshram bergegas keluar dari rumahnya di negeri barat India, Maharashtra apabila mendengar 'suara' kambingnya dalam ketakutan dan mendapati dirinya berdepan dengan seekor harimau, lapor BBC.

Tetapi Meshram tidak panik. Dia terus mencapai kayu berdekatan, memukul harimau tersebut yang kemudian berpaling kepadanya.

Ibu Meshram, Jijabhai bergegas keluar untuk membantunya sebelum berjaya mengheret anak perempuannya itu masuk ke dalam rumah.

Berlaku keajaiban, apabila kedua-dua mereka hanya mengalami kecederaan ringan. Malangnya, kambing itu tidak dapat diselamatkan.

Malah, Meshram sempat mengambil gambar selfie bersama ibunya selepas pergelutan itu yang menunjukkan wajahnya berlumuran darah.

-foto Rupali Meshram

Serangan itu berlaku minggu lepas, tetapi hanya heboh baru-baru ini. Kedua-dua mereka dirawat di hospital dan telah dibenarkan keluar.

Meshram mengalami kecederaan di kepala, pinggang, kaki dan tangan, manakala ibunya diserang di bahagian dekat dengan mata.

Doktor berkata mereka telah menunjukkan 'contoh keberanian', bagaimanapun menganggap mereka bernasib baik kerana harimau itu tidak membaham mereka.

"Saya fikir anak perempuan saya akan mati," kata Jijabhai kepada BBC, menggambarkan ketakutannya apabila melihat Meshram berdepan pemangsa ganas itu dengan hanya sebatang kayu.

Selepas berjaya masuk ke rumah, wanita itu memanggil pengawal hutan. Ketika dia tiba 30 minit kemudian, harimau itu sudah hilang dan kambingnya mati.

Kampung di mana mereka tinggal terletak berhampiran taman hidupan liar, lapor BBC, yang bermaksud ia terdedah dengan haiwan liar.

"Saya agak bimbang untuk kembali ke kampung tidak lama selepas serangan, tetapi saya tidak takut," kata Meshram.

Tahun lepas, harimau betina berusia dua tahun membunuh empat orang di negeri Maharashtra, menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan arahan 'tembak untuk bunuh'.

Haiwan itu kemudiannya dijumpai mati di sebelah pagar elektrik pada Oktober.

Pada bulan yang sama, seekor harimau yang dikatakan membunuh tiga orang di negara Uttarakhand ditembak mati oleh pengawal hutan.

Pembunuhan itu membawa kepada majlis keraian selama tiga jam diadakan penduduk yang berarak di jalan sambil memegang bangkai di atas kepala mereka.

Tags / Kata Kunci: harimau , lawan harimau
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan