Punca tumpahan minyak perairan Balikpapan masih misteri - Berita Dunia | mStar

Punca tumpahan minyak perairan Balikpapan masih misteri

Diterbitkan: Rabu, 4 April 2018 12:29 PM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Insiden tumpahan minyak dan kebakaran serius di pelabuhan Kalimantan hingga mengorbankan empat nyawa hujung minggu lalu masih misteri.

Pengurus MV Ever Judger memaklumkan perkara itu menerusi kenyataan kepada Ship & Bunker.

"Kebakaran minyak di perairan pelabuhan itu mengakibatkan kapal itu terbakar dan hingga kini punca kejadian tu masih tidak diketahui dan sedang disiasat," kata pengurus yang tidak mendedahkan identitinya.

Susulan kejadian itu juga, Indonesia mengisytiharkan darurat bencana di kawasan sekitar pelabuhan di Balikpapan.

Sementara itu, Reuters melaporkan pencemaran itu berlaku Sabtu lalu sebelum merebak ke kawasan seluas kira-kira 12 kilometer persegi.

“Kami memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti yang boleh mencetuskan kebakaran,” kata ketua agensi alam sekitar Balikpapan, Suryanto.

Balikpapan yang terletak di Kalimantan Timur, merupakan hab perlombongan utama dan menempatkan sebuah daripada beberapa loji penapisan minyak di Indonesia yang dikendalikan firma tenaga negara, Pertamina.

Menurut Pertamina, ia masih menyiasat punca tumpahan minyak itu, namun saluran paip dasar lautnya di kawasan berkenaan tidak mengalami sebarang kebocoran dan ia juga tidak mengganggu operasi harian.

“Buat masa ini, pasukan kami memberi tumpuan untuk menguruskan insiden tersebut,” kata Pengurus Komunikasi Luar Pertamina, Arya Dwi Paramita.

Tags / Kata Kunci: Balikpapan , Ever Judger
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan