Jam Milik 'Pencuri Dari Kaherah' Dilelong - Berita Dunia | mStar

Jam Milik 'Pencuri Dari Kaherah' Dilelong

Diterbitkan: Khamis, 29 Mac 2018 12:45 PM

(Ubah saiz teks)

SEUTAS jam jenama mewah yang suatu ketika dahulu pernah menjadi milik Raja Mesir, Raja Farouk dijual pada harga $912,500 (RM3.5 juta).

Jam Patek Philippe yang dijual menerusi lelongan Christie di Dubai itu turut mencatat rekod baharu di Timur Tengah.

Menurut pakar bahagian jam di Rumah Lelong Christie, Bob Xue, dia sudah menjangka jam itu akan mencatat rekod baharu.

"Saya memang tak terkejut harga jam itu boleh melonjak sangat tinggi dan saya juga sudah menjangka ia akan mencatat rekod," ujar Xue kepada Reuters.

Dibuat pada 1944, ia diukir dengan simbol diraja Mesir dan dikatakan hanya terdapat 281 model seumpamanya diseluruh dunia.

Siri 1518 itu merupakan model pertama yang dicipta oleh pembuat jam berprestij Swiss yang menggabungkan kalendar perpetual dan kronograf.

Raja Farouk, raja terakhir Mesir sebelum revolusi 1952 merupakan pengumpul jam seperti bapanya, Raja Fuad.

Selain jam Patek Philippe dan Vacheron Constantin, dia juga merupakan pengumpul kereta dan syiling.

Raja Farouk dilahirkan pada 11 Februari 1920 dan mangkat pada 18 Mac 1965 pada usia 45 tahun.

Tragisnya baginda menghembuskan nafas terakhirnya apabila rebah selepas menikmati makan malam pada majlis yang diadakan di istana.

Kegemarannya menikmati pelbagai jenis makanan menyebabkan berat badannya meningkat sehingga 140 kilogram.

Mendapat jolokan 'Pencuri dari Kaherah', Raja Farouk menjalani kehidupan mewa dengan mengumpul pelbagai harta dan barangan berharga.

Tags / Kata Kunci: Patek Phillipe , Raja Farouk
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan