Rumah Putih Nafi Skandal Trump Dengan Bintang Filem Lucah - Berita Dunia | mStar

Rumah Putih Nafi Skandal Trump Dengan Bintang Filem Lucah

Diterbitkan: Selasa, 27 Mac 2018 4:41 PM

(gambar kiri) Donald Trump dan (gambar kanan) Stormy Daniels. Foto Time

(Ubah saiz teks)

WASHINGTON: Rumah Putih menafikan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pernah menjalinkan hubungan seksual dengan seorang bintang filem lucah, lapor agensi berita China Xinhua.

Bintang filem lucah itu, Stormy Daniels, telah mendedahkan hubungan sulitnya dengan Trump lebih sedekad lepas dalam satu program wawancara CBS yang disiarkan pada Ahad.

Ketika taklimat media pada Isnin, jurucakap Rumah Putih Raj Shah berkata, Trump percaya semua dakwaan yang dibuat oleh "Cik Daniels malam semalam adalah tidak tepat." Shah berkata presiden itu juga menafikan sekeras-kerasnya dan secara konsisten dakwaan wanita itu berkaitan hubungan seksual.

Daniels, atau nama sebenarnya Stephanie Clifford berkata, dia mengadakan hubungan seks dengan Trump pada Julai 2006, yang dipersetujui bersama, dan mereka kekal berhubungan selepas itu namun tidak lagi melakukan seks.

Trump berkahwin dengan Melania pada 2005. Daniels, 39, berkata, dia berasa terancam dengan hubungan itu pada 2011 selepas setuju diwawancara oleh sebuah majalah gosip selebriti AS.

Dia juga mendakwa telah menerima bayaran sebanyak AS$130,000 sebagai "wang untuk menutup mulut" daripada peguam Trump, Michael Cohen, sejurus sebelum pilihan raya presiden 2016.

Daniels kini mengemukakan satu permohonan bagi mengesahkan satu perjanjian ketakdedahan yang ditandatanganinya untuk mendapatkan bayaran itu kerana ia tidak ditandatangani oleh Trump sendiri.  

Dia turut meminda permohonannnya pada Isnin bagi memasukkan Cohen sebagai defendan, yang didakwa telah melakukan fitnah.

Trump tidak bercakap secara terbuka mengenai dakwaan itu.  

Bagaimanapun pada awal Isnin, menerusi akaun Twitter beliau menulis: "Terlalu banyak berita tidak benar. Tidak pernah sebanyak atau tidak tepat seperti ini. Meskipun begitu, keadaan negara kita bertambah baik!" - Bernama

Tags / Kata Kunci: Rumah Putih , Donald Trump , Stormy Daniels
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan