Remaja Terkejut, Kucing Hilang Tiba-Tiba Muncul Selepas Lima Tahun - Berita Dunia | mStar

Remaja Terkejut, Kucing Hilang Tiba-Tiba Muncul Selepas Lima Tahun

Diterbitkan: Selasa, 20 Mac 2018 5:14 PM

(Ubah saiz teks)

PERNAHKAH anda terfikir kucing yang hilang selama lima tahun akan kembali semula ke pangkuan pemiliknya?

Kedengaran mustahil namun itulah yang berlaku ke atas seorang wanita, Nguhi Muturi yang akhirnya kembali bersatu dengan kucingnya, Panther.

"Saya memeliharanya ketika masih kecil. Semasa saya tinggal di asrama kolej, dia juga pergi dan tidak pernah kembali lagi selepas itu," ujar Nguhi kepada Press Assosiation.

Kehilangan itu pastinya sangat memberi kesan kepada Nguhi. Namun, dia memilih untuk menerima hakikat kehilangan itu sehingga  mendapat kejutan baru-baru ini.

Menerusi perkongsiannya yang diulang kicau (retweet) sehingga lebih 200,000 pengguna Twitter, Nguhi menceritakan mengenai kepulangan Panther yang hilang selama lima tahun.

"Tiba-tiba ada seekor kucing menyerupai Panther datang ke rumah di Dallas, Texas dan menghampiri ayah saya.

"Apabila ayah bawa masuk ke dalam, kucing itu terus ke tempat kegemaran Panther.

"Selepas diperiksan, kami dapati kucing itu tiada kuku di bahagian depan. Dari situ kami tahu ia adalah Panther," kata Nguhi.

Setelah diselidik, rupa-rupanya Panther dipelihara pusat perlindungan yang terletak 24 kilometer dari kediamannya.

Di sana, dia dijaga seorang wanita yang kemudiannya menyerahkan Panther kepada ibubapanya.

Apa yang mengejutkan, ibubapa wanita itu rupa-rupanya adalah jiran kepada Nguhi.

"Saya tak percaya dan sungguh terkejut dengan keajaiban ini," tulis Nguhi di Twitter.

Walaupun jirannya menyerahkan kembali Panther, Nguhi yang kini mempunyai seekor anjing telah membuat keputusan untuk menyerahkan semula kucing itu kepada jirannya kerana ia sudah selesa tinggal bersama mereka.

"Sudah tentu ia menyedihkan tapi saya tak kisah. Dia sudah selesa dengan mereka.

"Jiran saya juga memberi kebenaran untuk saya melawat Panther pada bila-bila masa," ujarnya.


Tags / Kata Kunci: Panther , Nguhi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan