Eksekutif Dikecam Hantar Emel Seksis Sebelum Berhenti Kerja - Berita Dunia | mStar

Eksekutif Dikecam Hantar Emel Seksis Sebelum Berhenti Kerja

Diterbitkan: Isnin, 19 Mac 2018 10:41 AM

(Ubah saiz teks)

SATU emel seksis yang ditulis oleh eksekutif yang mahu meninggalkan salah satu agensi pengiklanan terbesar di United Kingdom tempat dia bekerja telah tular.

Emel itu tersebar selepas dia meletakkan ranking rakan wanita di pejabatnya berdasarkan daya tarikan sebelum menghantarnya kepada semua staf di pejabat.

Dalam emel tersebut yang diedarkan di sekitar pejabat The & Partnership London pada Hari Wanita Antarabangsa, perancang, Paul Martin memasukkan senarai berjudul 'Lima Teratas' dan 'Lima Paling Bawah' merujuk kepada staf perempuan.

Dia menamakan seorang rakan sekerja dan menulis: "Jika anda adalah gadis terakhir di muka bumi, saya akan jadikan anda umpan untuk menjerat haiwan liar, itu membuatkan saya lebih bahagia."

Secara keseluruhannya, kandungan emel itu banyak mengutuk penampilan rakan sekerja wanita dengan kata-kata kesat.

Martin pernah bekerja dengan syarikat jenama popular termasuk Cadbury, Toyota dan British Gas.

Emel itu dihantar ketika Martin mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan agensi perngiklanan tersebut.

Selepas emel itu dibocorkan di Twitter, di mana ia dikritik secara meluas, Martin berkata ia telah dibuat sebagai satu jenaka dan membuat permohonan maaf yang diletakkan di bahagian atas profil media sosialnya.

Dia menambah emel seperti itu dijadikan tradisi di beberapa agensi pengiklanan terkemuka.

"Menghantar emel 'Lima Teratas' ini menjadi amalan biasa dalam banyak agensi iklan.

"Semua wanita yang disebut adalah kawan saya dan orang yang saya sangat suka dan saya memeriksa dengan mereka untuk memastikan mereka gembira nama disebutkan dalam emel jenaka itu," tulisnya.

Bagaimanapun, The & Partnership London mengeluarkan satu kenyataan: "Kami tidak membiarkan sebarang bentuk tindakan seksis di The & Partnership LDN.

"Kami telah memohon maaf kepada kakitangan kami dan pihak lain atas sebarang kesalahan yang telah dibuat oleh e-mel ini dan telah mengambil tindakan untuk menjelaskan kepada semua pekerja bahawa kami tidak akan bertolak ansur dengan emel seperti ini yang dihantar pada masa akan datang, oleh lelaki atau wanita." -mirrorUK

Tags / Kata Kunci: seksis , emel
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan