Serangan Seksual: Polis Geladah Rumah, Studio Pengarah Terkenal Korea Selatan - Berita Dunia | mStar

Serangan Seksual: Polis Geladah Rumah, Studio Pengarah Terkenal Korea Selatan

Diterbitkan: Isnin, 12 Mac 2018 4:39 PM

(Ubah saiz teks)

SEOUL: Polis telah menggeledah kediaman pengarah teater terkenal, Lee Youn-taek, sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas beberapa dakwaan melakukan serangan seksual membabitkan rakan sekerjanya yang lebih muda, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Menurut Agensi Polis Metropolitan Seoul pada Isnin, anggotanya telah menggeledah kediaman Lee di pusat bandar Seoul dan studio utamanya di Miryang, kira-kira 380 kilometer di selatan ibu kota, pada Ahad dan telah merampas bahan bukti.

Mereka turut menggeledah dua lagi studio yang dikendali oleh Lee.

Polis berkata mereka merancang untuk menyoal siasat Lee minggu ini.Lee didakwa melakukan serangan seksual itu dengan mencabul serta merogol beberapa rakan sekerjanya yang lebih muda sepanjang tempoh dua dekad lalu.

Dakwaan itu mula-mula dibangkitkan oleh seorang daripada mangsa Lee, yang membuat pendedahan kepada umum.Enam belas wanita telah mengemukakan aduan kepada pihak pendakwaan meminta satu siasatan rasmi dilakukan berhubung dakwaan itu.

Pihak pendakwaan menyerahkan kes itu kepada pihak polis dan melarang Lee meninggalkan Korea Selatan.

Polis Seoul juga berkata mereka telah menjalankan siasatan awal terhadap pembuat filem yang merangkul anugerah, Kim Ki-duk, kerana disyaki melakukan penderaan seksual ke atas wanita.

Mereka kini meneliti dakwaan salah laku seksual serupa terhadap aktor terkenal, Cho Jae-hyun, yang membintangi kebanyakan filem Kim.- Bernama

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan