Tetamu Buat Permintaan Pelik, Pihak Hotel Turutkan Saja... - Berita Dunia | mStar

Tetamu Buat Permintaan Pelik, Pihak Hotel Turutkan Saja...

Diterbitkan: Jumaat, 2 Mac 2018 2:18 PM

-foto corwallis1 (IMGUR)

(Ubah saiz teks)

SATU pasangan yang melawat Singapura baru-baru ini telah membuat permintaan agak luar biasa kepada hotel yang ditempah.

Pasangan itu telah meminta agar gambar pelakon Jeff Goldblum diletakkan di sebelah katil mereka.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana pihak hotel akan melihat permintaan seperti ini sebagai serius dan patut dilayan, tetapi Mariott Tang Plaza, Singapura, menurutkan sahaja permintaan bakal tetamu mereka.

Hotel tersebut menerima permintaan luar biasa itu dalam e-mel yang mengesahkan kedatangan pasangan berkenaan.

-foto corwallis1 (IMGUR)

Walaupun kakitangan hotel tidak menggunakan gambar yang dilampirkan oleh pelanggan dalam e-melnya, mereka tetap pastikan pasangan itu berpuas hati ketika mereka masuk ke bilik yang ditempah.

Apabila pasangan itu tiba, mereka mendapati bukan hanya satu tetapi beberapa keping gambar Goldblum diletakkan di dalam bilik dan juga di bilik mandi.

Pasangan itu sangat kagum dengan usaha hotel untuk menggembirakan mereka justeru mereka berkongsi kisah ini di Reddit.

Dalam gambar yang dimuat naik di laman gambar popular Imgur, anda dapat melihat gambar pelakon popular itu diletakkan di ruang tamu, di atas TV skrin rata, di bilik mandi dan juga gambar kolaj diletakkan di atas bantal mereka.

-foto corwallis1 (IMGUR)

Gambar terakhir turut mempunyai mesej selamat datang khas: "Jeff Goldblum mengalu-alukan Elliott".

Posting mereka menjadi tular dan akhbar The Straits Times berkunjung ke Mariott Tang Plaza untuk bercakap dengan kakitangan mereka tentang permintaan aneh itu.

Menariknya, mereka tidak terlalu terkejut apabila membaca e-mel Elliott, kerana mereka pernah mendapat permintaan luar biasa pada masa lalu.

"Tetamu kami datang dari seluruh dunia dan kami akan melakukan yang terbaik untuk memenuhi permintaan mereka, dan untuk mewujudkan pengalaman indah dan tidak dapat dilupakan bagi para tetamu kami," kata pengarah operasinya, Daniel Burstein kepada akhbar Singapura itu.

"Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk tidak berkata tidak. Jika ia sesuatu yang tidak dapat kami temui atau tidak dapat dilakukan, kami akan mencari alternatif lain."

-foto corwallis1 (IMGUR)

Sebahagian daripada permintaan yang pernah diterima pada masa lalu termasuklah bilik ditimbun dengan mainan atau bilik yang dihiasi bunga bermusim.

Ini bukan kali pertama tetamu hotel meminta gambar seorang pelakon Hollywood di bilik mereka.

Pada 2015, seorang tetamu di Hotel Indigo, San Antonio-Riverwalk di Texas memohon gambar Nicolas Cage dari filem Con Air dan pada 2016 tetamu di The Huntley Hotel di Santa Monica, California, meminta foto berbingkai Jeff Goldblum diletakkan di dalam biliknya.

Hasrat mereka berdua dipenuhi.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan