AS Pindah Kedutaan Ke Baitulmaqdis Mei 2018 - Berita Dunia | mStar

AS Pindah Kedutaan Ke Baitulmaqdis Mei 2018

Diterbitkan: Sabtu, 24 Februari 2018 9:54 AM

(Ubah saiz teks)

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump merancang untuk memindahkan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis pada Mei depan sempena ulang tahun ke-70 'penubuhan' Israel, menurut pegawai kerajaan.

Tarikh tersebut bagaimanapun lebih awal daripada yang diumumkan Timbalan Presiden, Mike Pence ketika berkunjung ke Tel Aviv yang mana beliau memaklumkan kedutaan tersebut kononnya akan dibuka pada akhir 2019.

Jabatan Negara AS secara rasmi akan menamakan kemudahan di kawasan kejiranan Arnona di Kota Lama tersebut yang kini digunakan untuk urusan konsular sebagai kedutaan walaupun rancangan asal adalah membina struktur baharu yang mungkin mengambil masa beberapa tahun lagi untuk dibuka.

Trump dengan angkuh turut berbangga dengan keputusan kontroversinya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel ketika beliau berucap di Persidangan Tindakan Politik Konservatif di Maryland yang turut mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Keputusan tergesa-gesa pemindahan Kedutaan AS itu dilihat akan mencetuskan kemarahan Palestin kerana bagi mereka ulang tahun tersebut adalah serentak dengan hari memperingati peristiwa Nakba (malapetaka) yang menyaksikan ratusan ribu penduduk Palestin diusir selepas penubuhan Israel pada 1948.

"Keputusan pentadbiran Rumah Putih untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memilih ulang tahun Nakba untuk melakukan tindakan provokasi itu jelas melanggar undang-undang. Ia hanya akan membangkitan kemarahan penduduk Palestin," tegas Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat dalam satu kenyataan. - The New York Times


Tags / Kata Kunci: AS , Trump , Baitulmaqdis
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan