Potong Senapang Tanda Solidariti Mangsa Tembakan Florida - Berita Dunia | mStar

Potong Senapang Tanda Solidariti Mangsa Tembakan Florida

Diterbitkan: Rabu, 21 Februari 2018 2:58 PM

Senapang milik Pappalardo yang telah dipotong tiga. - Facebook

(Ubah saiz teks)

LOS ANGELES: Sebuah video seorang lelaki memotong senapang separa automatik miliknya tular di laman sosial susulan insiden tembakan yang berlaku di sebuah sekolah tinggi di Florida, Amerika Syarikat (AS).

Video Scott Pappalardo itu dikongsikan lebih 36,000 kali di Facebook setakat tengah hari Selasa.

Rakaman tersebut menunjukkan dia menggunakan gergaji elektrik untuk memotong senapang jenis AR-15 sambil menyampaikan mesej bahawa dia tidak mahu kejadian sama berulang pada masa akan datang.

Insiden tembakan yang berlaku pada minggu lalu di sekolah tersebut telah mengorbankan seramai 17 mangsa.

"Ini bukanlah jawapan untuk menyelesaikan segala masalah.

"Jujurnya, tiada siapa boleh jawab. Sentiasa akan ada orang yang ingin membunuh.

"Tapi, mereka tidak akan melakukannya (membunuh) menggunakan senapang ini.

"Saya harap ada orang yang menonton dan ingin melakukan perkara yang sama," kata Pappalardo menerusi video tersebut.

Lelaki itu yang merupakan seorang aktivis hak menggunakan senapang berkata, dia memiliki tatu Pindaan Kedua Perlembagaan Amerika Syarikat di lengannya.

Dia turut menutup rakaman tersebut dengan menyampaikan, kemusnahan senapang itu bermaksud kurang selaras lagi senjata api di AS.

Pappalarado turut memperkenalkan tanda pagar #oneless sehingga ia tular di Twitter dan Facebook.

Pemilik senjata api lain turut memuat naik gambar senapang mereka yang turut dimusnahkan. - NDTV

Tags / Kata Kunci: oneless
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan