KFC Mohon Maaf, Terpaksa Tutup Lebih 700 Premis Di UK - Berita Dunia | mStar

KFC Mohon Maaf, Terpaksa Tutup Lebih 700 Premis Di UK

Diterbitkan: Selasa, 20 Februari 2018 10:11 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Masalah bekalan ayam yang kronik mengakibatkan rangkaian restoran makanan segera Amerika Syarikat (AS) terpaksa menutup ratusan cawangannya di Britain.

Segalanya berpunca daripada perubahan kontrak penghantaran kepada DHL minggu lalu dan syarikat dari Jerman itu dikatakan telah gagal menghantar bekalan sekukupnya.

Bagaimanapun, menurut jurucakap Kentucky Fried Chicken (KFC), masih tidak jelas di peringkat mana masalah penghantaran itu berlaku.

Menurut KFC, lebih 700 daripada 900 cawangannya di seluruh Britain terpaksa ditutup sejak hujung minggu sementara ada rangkaian hanya menawarkan menu terhad atau waktu operasi lebih singkat.

"Kami sudah mendapatkan rakan pembekal baharu, namun mereka ada beberapa masalah. Usaha menghantar ayam segar ke 900 restoran di seluruh negara ini agak sukar.

"Kami tidak berkompromi dalam kualiti, oleh itu masalah penghantaran menyebabkan sejumlah restoran KFC ditutup dan ada yang beroperasi dengan menu terhad atau hanya dibuka untuk waktu singkat," kata satu kenyataan KFC.

Pihak restoran itu juga mengakui memahami ia menyebabkan masalah dan mengecewakan pelanggan yang mahukan ayam goreng sejak beberapa hari lalu.

"Kami memohon maaf," kata kenyataan itu lagi dan memaklumkan pihaknya telah membuka laman web khusus untuk membolehkan pelanggan mengetahui premis KFC yang masih beroperasi.

Sementara itu, DHL dalam kenyataan berasingan berkata pihaknya sedang berusaha untuk mengatasi masalah itu.

Syarikat penghantara itu menggunakan perisian yang dibangunkan firma Quick Service Logistics (QSL).


Tags / Kata Kunci: KFC , Britain , DHL
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan