60 Polis Thailand Disiasat Terima Angpau - Berita Dunia | mStar

60 Polis Thailand Disiasat Terima Angpau

Diterbitkan: Sabtu, 17 Februari 2018 9:39 PM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Polis Thailand telah memulakan siasatan ke atas 60 anggota polis dari empat balai polis di Bangkok kerana menerima angpau daripada seorang lelaki yang didakwa sebagai pemilik premis perjudian.

Komander Divisyen 7 Polis Metropolitan, Mejar Jeneral Boonyarit Rodma mengarahkan siasatan dijalankan selepas satu klip vedeo menunjukkan anggota polis berkenaan menunggu dan berbaris panjang untuk menerima angpau menjadi tular di laman sosial negara itu.

Menurut media tempatan di sini Sabtu, klip video itu telah ditonton lebih 159,000 kali dan di-share lebih 2,200 kali dalam masa hanya 15 jam sejak ia mula tular dalam laman Facebook Jumaat lepas.

Boonyarit berkata, kesemua anggota polis terbabit ialah dari balai polis Taling Chan, Thamma Sala, Bang Yikhan dan Bang Saothong dan beliau juga mengarahkan kesemua ketua balai disoal berikutan insiden yang memalukan itu.

Keempat-empat balai polis terbabit juga telah diarahkan untuk mengemukakan laporan kepada Biro Polis Metropolitan dalam masa satu minggu, kata beliau.

Insiden tersebut berlaku hanya seminggu selepas Timbalan Ketua Polis Nasional negara itu, Jeneral Chalermkiat Sriworakhan mengeluarkan arahan kepada semua ketua balai polis untuk memastikan anggota bawahan mereka tidak menerima angpau daripada mana-mana ahli perniagaan Cina.

Beliau memberi amaran bahawa tindakan tatatertib akan diambil jika mereka mengingkari arahan itu. - Bernama

Tags / Kata Kunci: angpau
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan