Gambar Menyayat Hati Mangsa Terhuyung-Hayang Di Bangkai Pesawat - Berita Dunia | mStar

Gambar Menyayat Hati Mangsa Terhuyung-Hayang Di Bangkai Pesawat

Diterbitkan: Selasa, 13 Februari 2018 10:36 AM

Seorang saksi sempat merakamkan gambar mangsa menyelamatkan diri dari sebuah heleikopter yang terhempas dan terbakar. -foto Independent

(Ubah saiz teks)

DUA adik-beradik lelaki adalah antara tiga warga Britain yang terbunuh dalam nahas helikopter di Grand Canyon selain tiga yang lain cedera parah.

Jason Hill, 32, adiknya Stuart, 30, dan teman wanita Stuart, Becky Dobson, 27, maut ketika helikopter yang dinaiki terhempas di kawasan gurun Arizona pada Sabtu.

Kekasih Jason, Jennifer Barham, 39, bersama rakannya Ellie Milward, 29, dan suaminya Jonathan Udall, 32, serta juruterbang Scott Booth, 42, terselamat.

Semua mereka berada dalam keadaan kritikal di hospital.

Seorang saksi telah melihat seorang wanita dalam keadaan terhuyung-huyang dekat bangkai pesawat sebelum rebah dan melaungkan nama Jason.

Enam sekawan ini menempah lawatan ke lembah itu sebagai sebahagian daripada perjalanan untuk meraikan hari jadi Stuart yang ke-30.

Stuart, seorang jurujual Mercedes dan abangnya, peguamcara, telah mengumpul wang selama setahun untuk perjalanan itu, menurut keluarga mereka.

Bapa mereka, David Hill, memberitahu Standard bahawa satu-satunya perkara menyenangkan berhubung nahas ini adalah dua beradik dari Worthing, West Sussex, yang sangat rapat itu meninggal dunia bersama.

"Mereka saling mengasihi dan sangat rapat dan mereka pergi bersama-sama."

Tidak dapat menahan air mata, dia menambah: "Ramai yang sayangkan mereka.

"Mereka sangat rapat dan sebagai ibu bapa kami berasa diberkati mempunyai anak seperti mereka."

Helikopter itu terhempas di kawasan yang dikenali sebagai Quartermaster Canyon, menurut Ketua Polis Hualapai Francis Bradley.

Penyelamat berdepan angin kencang dan terpaksa berjalan kaki ke kawasan terpencil batuan bergerigi di Barat Rim, sebuah kawasan yang sangat cantik.

Ini bermakna mereka yang cedera perlu menunggu sembilan jam sebelum dibawa ke hospital Las Vegas kira-kira pukul 2 pagi.

Lionel Douglass, yang menghadiri majlis perkahwinan berdekatan, menyaksikan kemalangan itu dengan helikopter berpusing dua kali.

"Ia berlaku begitu pantas," katanya kepada ABC News.

"Apabila saya melihat ia terbalik, saya tidak pasti apa yang berlaku dan pada masa itu saya menjerit kepada semua orang untuk melihatnya, ia tidak dapat dikawal.

"Ia jatuh di antara gunung-gunung, ekornya pecah dua, bahagian bawah berlanggar dan ia adalah letupan terbesar yang pernah anda dengar. Kemudian ada api yang anda tidak pernah lihat sebelum ini."

Letupan itu berlaku lima atau enam kali.

Douglass berkata dia mengezum menggunakan kamera telefonnya dan melihat seorang wanita terhuyung-huyung dari bangkai pesawat.

-foto Independent

"Saya ambil telefon bimbit saya dan mengezum jika saya dapat melihat seseorang dan seorang wanita berjalan keluar dari api dan kemudian ia 'hilang'."

Dia berkata wanita itu rebah dan mula menjerit nama Jason.

Saksi lain, Teddy Fujimoto, melihat dua wanita yang terselamat selepas itu.

"Ia dahsyat. Dan mangsa, tidak dapat dibayangkan kesakitannya."

Kumpulan itu dipercayai telah mengambil pakej pelancongan The Grand Celebration dari Papillon Airways, yang terbang dengan helikopter EC130.

Papillon, yang membawa kira-kira 600,000 penumpang setahun untuk perjalanan Grand Canyon menawarkan 'satu-satunya cara untuk melawat' taman negara itu.

Syarikat itu memberi kerjasama dengan penyiasat.

Taman Negara Grand Canyon adalah salah satu tarikan semula jadi yang paling popular di dunia, dengan menarik sekitar lima juta pengunjung setiap tahun.

Panjangnya sekitar 445km, 29km lebar dan kedalamannya kira-kira 1.6km. -Evening Standard

Tags / Kata Kunci: Grand Canyon , helikopter terhempas

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan