Pengasas Ikea Meninggal Dunia - Berita Dunia | mStar

Pengasas Ikea Meninggal Dunia

Diterbitkan: Isnin, 29 Januari 2018 9:14 AM

(Ubah saiz teks)

PENGASAS gedung perabot terkenal Sweden, Ikea, Ingvar Kamprad, meninggal pada Ahad pada usia 91 tahun.

Menurut kenyataan syarikat perabot itu, Kamprad menghembuskan nafas terakhir dalam tidur di kediamannya di Smaland, selatan Sweden.

“Warisan beliau akan selalu dikenang buat tahun-tahun akan datang dan visi beliau – untuk mewujudkan kehidupan harian yang lebih baik untuk lebih ramai orang – akan selalu menjadi panduan dan memberi inspirasi kepada kami,” kata CEO dan Presiden Ikea Group, Jesper Brodin dalam satu kenyataan.

Dilahirkan pada 1926 dalam keluarga pekebun di selatan wilayah Smaland di Sweden, Kamprad mengasaskan syarikat tersebut semasa berusia 17 tahun.

Dia mencatat kejayaan dengan menawarkan harga yang rendah berbanding pesaing-pesaingnya. Walaupun amat kaya dan berjaya, Kamprad terkenal sebagai seorang yang berjimat cermat.

Pada 1973 dia meninggalkan Sweden yang struktur cukai mahal, berhijrah ke Denmark sebelum berpindah ke Switzerland yang cukainya lebih rendah.

Pereka perabot, Jeff Banks berkata, Kamprad telah mengubah ramai orang untuk menyusun perabot di rumah.

"Ramai orang cuba meniru ideanya itu, tetapi tidak berjaya," jelasnya.

Kamprad beransur-ansur melepaskan pegangan peranan utama di syarikat kepada tiga anak lelakinya bermula tahun 2010 sebelum pulang ke Sweden pada 2014.

Tags / Kata Kunci: Pengasas Ikea , Ingvar Kamprad
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan