Wanita Dedah 'Anak' Mangsa Culik Masa Jadi Pengasuh - Berita Dunia | mStar

Wanita Dedah 'Anak' Mangsa Culik Masa Jadi Pengasuh

Diterbitkan: Sabtu, 20 Januari 2018 8:37 AM

(Ubah saiz teks)

SEORANG bekas pengasuh di China baru-baru ini mengaku menculik seorang budak lelaki dari majikannya di Chongqing dan membesarkannya sebagai anaknya sendiri selama 26 tahun.

He Xiaoping, 48, dari Nanchong, di wilayah barat daya China, Sichuan, mengaku mengenai penculikan kepada pihak berkuasa tempatan pada Ogos lalu. 

Polis telah menyiasat mengenai pendedahan itu, tetapi tidak dapat membuka kes jenayah hanya berdasarkan dakwaannya semata-mata.

Xiaoping mendakwa bahawa selepas melahirkan dua anak dan kehilangan kedua-dua mereka semasa masih bayi, dia mendekati orang tua di kampungnya untuk mendapatkan nasihat. 

Dia diberitahu bahawa satu-satunya cara baginya untuk mempunyai seorang anak sendiri, adalah membesarkan seorang anak dari keluarga lain. 

Pada 1992, Xiaoping pergi ke bandar Chongqing menggunakan kad pengenalan palsu dan mendapat pekerjaan sebagai pengasuh untuk seorang anak lelaki berusia setahun. 

Dia mendakwa bahawa selepas bekerja selama tiga hari, dia membawa budak itu kembali ke Nanchong bersamanya. 

Dia menamakannya sebagai Liu Jinxin sempena nama anaknya yang kedua.

Budak tersebut kini berusia 27 tahun, tetapi selama bertahun-tahun dia bersama Xiaoping, tiada siapa yang datang mencarinya.

Pada 1995, selepas kelahiran anak perempuannya, Xiaoping memikirkan untuk mengembalikan budak itu kepada keluarganya, tetapi dia bimbang dipenjarakan. 

Akhirnya dia hanya memendam hasrat itu dan membesarkannya sebagai anak sendiri.

"Saya tahu saya telah melakukan perkara yang buruk," kata beliau dalam temubual dengan Chongqing Evening News

"Tetapi saya selalu menjaganya sebagai anak saya sendiri, dan dia menjaga saya sebagai ibunya yang sebenar."

"Saya tidak pernah menganggap dia bukan ibu saya kerana dia begitu baik kepada saya," kata Liu. 

"Saya tidak peduli sekiranya mereka dapat mencari ibu bapa kandung saya atau tidak," tambah Liu. - odditycentral

Tags / Kata Kunci: pengasuh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan