Sanggup Pakai Banyak Baju, Seluar Elak Caj Bagasi - Berita Dunia | mStar

Sanggup Pakai Banyak Baju, Seluar Elak Caj Bagasi

Diterbitkan: Rabu, 17 Januari 2018 3:27 PM

Ryan Carney Williams yang sarat dengan pakaiannya. Foto paparan skrin twitter/RYAN HAWAII

(Ubah saiz teks)

SEORANG pelancong warga Britain tidak dibenarkan menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Keflavik, Iceland selepas dia memakai 8 seluar dan 10 kemeja.

Ryan Carney Williams dilaporkan bertindak sedemikian bagi mengelak membayar caj lebihan bagasi untuk penerbangan British Airways ke London pada Rabu minggu lalu.

Sehari kemudian, dia sekali lagi tidak dibenarkan menaiki penerbangan EasytJet, selepas syarikat penerbangan itu dimaklumkan tentang tingkah lakunya.

Menurut laman web berita tempatan Iceland Monitor, Williams tidak dibenarkan menaiki penerbangan British Airways kerana memakai semua pakaian yang tidak muat dimasukkan dalam bagasi daftar masuknya.

Tambah laporan itu, dia kemudian ditahan kerana berkelakuan tidak sopan dan enggan meninggalkan kaunter penerbangan ketika diminta berbuat demikian.

Williams menceritakan pengalamannya di akaun Twitter, di mana dia dirakamkan menyarungkan beberapa pakaian, dengan sekurang-kurangnya dua baju panas (sweater) diikatkan di bahagian lehernya.

"Mereka benar-benar membuatkan saya berpakaian seperti ini untuk lepas, dan mereka tidak pun melepaskan saya pergi," katanya menerusi satu video.

Dia terus mengeluarkan kata-kata cemuhan kepada syarikat penerbangan itu dan mempersoalkan sama ada dia menjadi mangsa perkauman.

Menerusi video kedua, dia dilihat meminta kakitangan lapangan terbang untuk menjelaskan mengenai alasan dia tidak dibenarkan menaiki penerbangan.

Williams kemudian menjelaskan di Twitter bahawa dia sebenarnya tidak mampu membayar caj lebihan bagasi sebanyak £90 (RM489), "akibat menjadi bergelandangan di Iceland selama lebih seminggu".

Jurucakap EasyJet memberitahu akhbar London: "Kapten dan kakitangan di lapangan terbang dimaklumkan mengenai laporan pada hari sebelumnya, jaid kami memberikan bayaran balik dan dia boleh terbang dengan pesawat lain."

Williams memuar naik beberapa paparan skrin perbualannya dengan syarikat penerbangan tambang rendah itu, yang pada awalnya tidak menawarkan bayaran balik kepadanya.

Dalam satu kenyataan, British Airways berkata, caj bagasinya dari Iceland adalah dari £47 bagi setiap penerbangan.

"Kami memahami rancangan pelanggan kami boleh berubah, maka mereka boleh memilih untuk membuat bayaran di lapangan terbang sekiranya memerlukan beg tambahan," menurut kenyataan itu.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan kepada Telegraph juga menafikan bahawa kejadian tersebut tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman.

Dilaporkan, William akhirnya pulang ke tanah air dengan menaiki penerbangan dengan sebuah syarikat penerbangan Norway, tetapi tidak dipastikan tentang pakaiannnya. - The Straits Times/Asia News Network

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan