Dera Anak: Gambaran Keluarga Bahagia Hanya Rekaan - Berita Dunia | mStar

Dera Anak: Gambaran Keluarga Bahagia Hanya Rekaan

Diterbitkan: Rabu, 17 Januari 2018 10:50 AM

(Ubah saiz teks)

PASANGAN David dan Louise Turpin yang ditahan kerana mendera dan menyeksa 13 anak mereka menggambarkan seolah-olah hidup dalam suasana sebuah keluarga bahagia.

Ia diketengahkan menerusi gambar mereka sekeluarga yang dimuat naik di media sosial.

Pasangan berusia 56 dan 49 tahun yang menetap di Perris dekat Los Angeles ini memuat naik gambar mereka sekeluarga dengan pakaian sedondon tersenyum gembira ketika melawat Disneyland.

Anak-anak mereka juga memakai kemeja-t mengikut jantina dengan nombor tertera pada pakaian itu menandakan kedudukan mereka dalam keluarga, malahan gaya rambut juga sama.

"Mereka sentiasa akan memakai pakaian sedondon ketika keluar bersama," kata ibu David, Betty Turpin kepada CNN.

Katanya lagi, pasangan itu akan memastikan anak-anak mereka berbaris mengikut usia mereka sebagai langkah keselamatan.

"Mereka terlalu melindungi anak-anak," katanya.

Pasangan ini ditahan selepas didapati melakukan penderaan terhadap 13 anak mereka berusia antara dua hingga 29 tahun dengan merantai, mengurung dan dibiarkan kelaparan.

Penahanan itu susulan seorang daripada mangsa, remaja perempuan berusia 17 tahun berjaya melarikan diri dan kemudian menghubungi 911.

Remaja itu memaklumkan 12 lagi adik-beradiknya dikurung di dalam rumah mereka dan ada sebahagiannya dirantai serta dikunci dengan mangsa.

Mangsa ditemui dalam keadaan kurus kering dan tidak terurus. Kesemua mangsa kemudian dihantar ke hospital.

David dan Louise Turpin didakwa melakukan penderaan dan penyiksaan terhadap kanak-kanak dengan ikat jamin ditetapkan sebanyak AS$9 juta dolar setiap seorang.

Tags / Kata Kunci: Turpin , Perris
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan