Dua Beradik Curi Bayi Di Hospital, Hadiah Kepada Ibu - Berita Dunia | mStar

Dua Beradik Curi Bayi Di Hospital, Hadiah Kepada Ibu

Diterbitkan: Rabu, 17 Januari 2018 12:08 PM

- Gambar hiasan

(Ubah saiz teks)

POLIS menahan dua adik-beradik perempuan dari Uttar Pradesh, India kerana didakwa mencuri seorang bayi baru lahir dari sebuah hospital kerajaan di Bharatpur, Rajasthan.

Mereka bagaimanapun meninggalkan bayi tersebut di tepi jalan dengan sekeping nota dan botol susu, tiga hari kemudian.

Suspek, yang dikenal pasti sebagai Shivani Devi, 23 dan Priyanka Devi, 20, memberitahu polis bahawa mereka ingin menghadiahkan seorang bayi lelaki kepada ibu mereka yang mengalami tekanan kerana bapa mereka merancang untuk berkahwin lain selepas adik lelaki yang berusia 12 tahun meninggal dunia dua tahun lepas.

Dua suspek itu mencuri bayi tersebut pada 10 Januari, tetapi berasa takut selepas membaca di akhbar bahawa polis sedang memburu mereka.

Mereka meninggalkan bayi tersebut di sebuah kampung pada 13 Januari dengan nota rayuan meminta sesiapa yang menemuinya memberitahu polis bahawa bayi itu adalah bayi yang dicuri pada 10 Januari.

Penguasa polis Bharatpur, Anil Kumar Tank berkata penyiasat mengenal pasti adik-beradik itu melalui rakaman CCTV hospital.

Kedua-dua wanita itu, dalam video dilihat menunggang skuter, manakala seorang lelaki di tempat letak kereta hospital itu menghafal nombor pendaftaran skuter tersebut.

"Kami menahan adik-beradik itu di kampung mereka, Swarupa Naugaon, di Mathura di bawah Seksyen 363 (penculikan) dan mereka dituduh mencuri bayi," kata ketua polis daerah.

Wanita itu didakwa telah meninjau sekitar Bharatpur dan mensasarkan anak lelaki Manish, 30, yang isterinya telah melahirkan bayi sekitar jam 4 pagi pada 10 Januari di sebuah pusat kesihatan komuniti.

Ibu dan bayi itu telah dipindahkan ke hospital kerajaan untuk penjagaan yang lebih baik.

Mereka melarikan bayi lelaki itu sekitar jam 2.30 petang ketika ibunya sedang tidur.

Tetapi video pengawasan hospital berjaya mendedahkan identiti suspek dan bapa mertua Manish, Saddique Mev, membuat aduan.

Polis berkata kedua-dua wanita itu mendakwa mereka pada mulanya mahu mengambil seorang budak lelaki sebagai adik angkat bagi menghalang bapa mereka Laxman Singh daripada berkahwin lain bagi mendapatkan anak lelaki sebagai waris.

Mereka juga pernah bertanya jururawat di hospital sama ada mereka boleh membeli seorang bayi daripada keluarga miskin.

Tetapi mereka putus asa kerana proses undang-undang memakan masa dan undang-undang yang ketat serta hukuman berat dalam kes jual beli bayi.

Shivani adalah seorang guru di sekolah swasta, telah berkahwin dan tinggal bersama suaminya.

Priyanka juga telah berkahwin dan belajar untuk menamatkan pengajiannya dalam bidang seni. -HindustanTimes

Tags / Kata Kunci: curi bayi , waris lelaki

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan