Demi Anak, Bapa Habiskan 2 Tahun Bina 8km Jalan Di Kawasan Gunung - Berita Dunia | mStar

Demi Anak, Bapa Habiskan 2 Tahun Bina 8km Jalan Di Kawasan Gunung

Diterbitkan: Rabu, 17 Januari 2018 5:36 PM

(Ubah saiz teks)

SEORANG bapa di Orissa, negeri timur India telah membina jalan sejauh 8 km di kawasan pergunungan bagi membolehkan anak-anaknya yang bersekolah jauh dari rumah dapat pulang melawatnya lebih kerap.

Sejak dua tahun lalu, Jalandhar Nayak, 45, akan keluar rumah pada waktu pagi membawa kapak dan cangkul, menghabiskan masa sehingga lapan jam sehari untuk memotong dan mengalihkan batu-batuan untuk membina laluan.

Nayak, yang tidak pernah menerima pendidikan formal tinggal di sebuah kampung terpencil, 10 km dari asrama sekolah di mana tiga anaknya belajar.

Laluan yang sebenar mengambil masa yang lebih pendek, tetapi laluan antara rumah dan sekolah yang digunakan anak-anaknya mengambil masa selama tiga jam, termasuk perlu mendaki lima buah bukit.

"Susah untuk anak-anak saya berjalan di jalan yang sempit dan berbatu ketika pergi ke sekolah," kata lelaki itu kepada Kalinga TV baru-baru ini.

"Saya sering melihat mereka terhuyung-huyang meredah batu-batu dan saya memutuskan untuk membuat jalan melalui gunung supaya mereka boleh berjalan dengan bebas."

Pihak berkuasa tempatan hanya menyedari kerja-kerja Nayak awal bulan ini, ketika kisahnya disiarkan dalam buletin berita setempat.

Dia sebelum ini tidak pernah meminta bantuan mereka.

Para pegawai memberitahu BBC bahawa mereka akan menyambung kerja-kerja menyiapkan baki laluan sepanjang 7km yang akan menghubungkan kampungnya dengan bandar tempat anaknya bersekolah.

Nayak juga akan dibayar untuk kerja-kerjanya yang didapati berkualiti tinggi sehingga ia boleh dilalui oleh kenderan berat.

"Saya kagum apabila dia sangat berhati-hati memastikan tidak ada sebatang pokok pun ditebang semasa membina jalan ini," kata Sibashakti Biswal, wartawan tempatan yang pertama kali menemubual Nayak, kepada BBC.

Nayak sangat gembira mendapat tahu kerajaan akan menyelesaikan pembinaan jalan dan memberitahu BBC bahawa dia juga meminta pihak berkuasa menyediakan kemudahan elektrik dan air minuman.

Dia berharap anaknya akan dapat pulang ke rumah pada hari cuti dan hujung minggu apabila kerajaan selesai membina jalan tersebut.

Media nasional membandingkan Nayak dengan Dashrath Manjhi, 'lelaki gunung' di Bihar yang menghabiskan 22 tahun membina jurang besar di gunung untuk membina jalan ke bandar terdekat.

Dia memulakan usaha itu selepas isteri tercinta Falguni meninggal dunia pada tahun 1959 apabila tidak dapat menerima rawatan segera selepas terbabit kemalangan.
Tags / Kata Kunci: bina jalan , Jalandhar Nayak
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan