Kekasih Pemimpin Ukip Digantung Buat Kenyataan Rasis Terhadap Markle - Berita Dunia | mStar

Kekasih Pemimpin Ukip Digantung Buat Kenyataan Rasis Terhadap Markle

Diterbitkan: Ahad, 14 Januari 2018 3:26 PM

Putera Harry dan Meghan Markle akan berkahwin pada Mei ini. -fotoGetty

(Ubah saiz teks)

PEMIMPIN Parti Kemerdekaan United Kingdom (Ukip) yang terbabit skandal, Henry Bolton kini dilanda krisis baharu selepas teman wanita model glamornya didedahkan telah membuat kenyataan rasis mengenai Meghan Markle.

Bolton, 54, sudah diminta meletakkan jawatan selepas meninggalkan isterinya untuk bersama model tersebut, Jo Marney, 25 tahun.

Henry Bolton (kiri) dilanda krisis terbaru dengan pendedahan bahawa teman wanitanya membuat kenyataan rasis terhadap Meghan Markle.

Mail Online pada Ahad mendedahkan mesej-mesej mengejutkan yang mana Marney mendakwa bahawa tunang Putera Harry yang 'berkulit hitam dari Amerika' akan 'mencemarkan' keluarga diraja dengan 'benihnya' dan membuka jalan untuk 'raja berkulit hitam'.

Marney juga menyatakan bahawa dia tidak akan melakukan seks dengan 'seorang lelaki negro' kerana mereka 'hodoh'.

Dia segera digantung dari Ukip malam tadi selepas ketua-ketua parti menyedari tentang komen-komennya yang sangat menyakitkan hati.

Pendedahan ini dibuat hanya beberapa hari sebelum Bolton dijadualkan hadir dalam pertemuan bagi membincangkan masa depannya dengan Ukip susulan hubungan barunya yang menimbulkan kemarahan.

Bekas pegawai tentera itu meninggalkan isterinya, Tatiana Smurova, 42, dan dua orang anaknya untuk Marney, yang ditemuinya sebelum Krismas.

Pengerusi Ukip, Paul Oakden, berkata dia sedar tentang 'perasaan yang begitu kuat ini' dalam kalangan anggota akar umbi.

Dalam mesej Marney yang dihantarnya kepada seorang kawan lelaki tiga minggu sebelum memulakan hubungannya dengan Bolton, dia mencemuh hubungan Harry dengan Markle yang dilahirkan di Los Angeles yang mana mereka akan berkahwin pada 19 Mei ini dengan alasan wanita itu adalah wanita berkulit hitam dari Amerika.

Marney juga menggambarkan Markle, yang ibunya berkulit hitam dan bapanya berkulit putih, sebagai 'obses dengan bangsa',  'orang biasa yang bodoh' dan 'aktres' yang tidak dikenali.

Tags / Kata Kunci: Meghan Markle , Ukip , Jo Marney , rasis
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan