'Spiderman' Malaysia Maut Jatuh Bangunan - Berita Dunia | mStar

'Spiderman' Malaysia Maut Jatuh Bangunan

Diterbitkan: Khamis, 4 Januari 2018 1:55 PM

(Ubah saiz teks)

TAIPEI: Seorang pelajar lelaki Malaysia di Universiti Da Yeh dalam Wilayah Changhua telah ditemui mati pada malam Rabu di luar asrama lelaki dengan berpakaian kostum 'Spiderman,' lapor agensi berita Taiwan Central News Agency (CNA).

Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan asrama itu.

Menurut polis, seorang pelajar yang melewati bangunan tersebut telah menemui pelajar Malaysia berkenaan, yang memakai nama keluarga Lee, dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di lantai simen sebelum memaklumkan perkara itu kepada pihak universiti dan polis.

Lee sudah meninggal dunia ketika anggota polis tiba di tempat kejadian.

Polis mengesyaki bahawa Lee berada di balkoni berswafoto ketika dia terjatuh lalu mati selepas mereka menemui telefon bimbitnya di balkoni tingkat lima, dan seorang daripada rakan sekelas mangsa yang disoal siasat turut memaklumkan bahawa Lee sebelum itu berkata dia ingin mengambil gambar.

Menurut Ketua Unit Penyiasatan di Precinct Yuanlin Jabatan Polis Wilayah Changhua, Chan Ting-yu, pihaknya belum dapat menentukan punca kematian mangsa kerana tidak ada saksi yang melihat kejadian itu.

Universiti Da-Yeh telah menghubungi keluarga Lee di Malaysia dan akan menguruskan perjalanan mereka ke Taiwan.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Spiderman , Da Yeh
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan