Ambil 7,000 Kalori Sehari, Lelaki Gemuk 4 Tahun Tak Keluar Flat - Berita Dunia | mStar

Ambil 7,000 Kalori Sehari, Lelaki Gemuk 4 Tahun Tak Keluar Flat

Diterbitkan: Selasa, 2 Januari 2018 10:00 AM

Paul Stevenson. -fotoDerbyTelegraph

(Ubah saiz teks)

SEORANG lelaki dengan berat badan 324kg sanggup berkurung dalam rumah selama empat tahun gara-gara malu dengan kegemukannya.

Paul Stevenson, dari Alvaston, Derby, mula mengalami tekanan perasaan ketika berusia 19 tahun apabila ibunya meninggal dunia.

Untuk mengatasi kesedihan itu, dia akan makan tiga atau empat kali setiap hari, yang mana hidangan itu diperolehi melalui khidmat penghantaran.

Dia makan pizza, keropok dan roti bulat sehingga mencapai berat maksimum kira-kira 324kg, lapor Derby Telegraph.

-fotoDerbyTelegraph

Tetapi, dia yang kini berusia 36 tahun dan mempunyai ketinggian 5 kaki 10 inci ini sedar jika dia terus mengamalkan pemakan seperti ini, dia tidak dapat hidup lama.

Setelah menghubungi doktor, dia akhirnya berjaya mengurangkan pengambilan kalori dari 7,000 kepada 1,500 sehari.

"Kalau tak, saya tidak akan hidup hari ini.

"Saya hanya berkurung dalam rumah flat tingkat bawah setiap hari selama empat tahun kerana sangat malu dengan badan saya.

"Saya tak pernah rasa nak keluar, ia sudah jadi cara hidup biasa untuk saya. Saya makan kira-kira tiga kali sehari.

"Saya susah nak buka pintu depan jika berlaku kecemasan dan menjauhkan diri dari rakan-rakan dan keluarga," kata Stevenson.

-fotoDerbyTelegraph

Dia kali pertama keluar rumah dalam tempoh empat tahun pada April 2016.

"Seorang kawan menghantar saya pergi ke hospital untuk temujanji hospital dan saya masih ingat ia adalah saat yang mendebarkan," katanya.

"Dia membawa saya pusing-pusing Derby sebelum sampai ke hospital.

"Saya masih ingat melihat velodrome (Derby Arena) untuk kali pertama dan Breadsall tempat saya dibesarkan."

Setelah menurunkan berat badannya ke 267kg, Stevenson menjalani pembedahan gastrectomi di Hospital Royal Derby pada musim panas 2016.

Pembedahan itu membuatkan pesakit berasa lebih cepat kenyang tetapi ia juga mengubah beberapa keseimbangan hormon dalam tubuh yang membantu mengekalkan rasa lapar.

Katanya, pembedahan itu telah membuatkan dia masih hidup hari ini dan sekarang dia lebih cergas.

Dia pergi ke gym enam hari seminggu, mengendalikan dua pasukan bola sepak di tempatnya.

Stevenson berjaya hilang 190kg dalam tempoh 18 bulan dan baru-baru ini menubuhkan sebuah laman kutipan dana untuk membantu membiayai kos pembedahan kulit menggeleber.

Pembedahan perutnya, yang bernilai sekitar £8,000, telah dibayar oleh Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) tetapi tidak termasuk prosedur pembuangan kulit kerana ia dikelaskan sebagai pembedahan kosmetik.

"Isu terbesar saya sekarang adalah kulit menngeleber yang mengganggu kehidupan harian."

Dia ingin mengumpulkan sejumlah £15,000 dan sambil itu mahu membantu orang lain yang mengalami masalah berat badan.

"Selepas pembedahan, saya berharap dapat kembali bekerja. Saya gembira mendapat semula kehidupan saya. Saya rasa seperti dilahirkan semula."

Stevenson berkata dia sudah tidak sabar meneruskan kehidupan pada tahun 2018.

"Saya mahu kembali bekerja," katanya.

"Saya tak kisah kerja apa pun, tapi pekerjaan idaman saya adalah membantu orang yang mengalami masalah obesiti.

"Selepas pembedahan kulit ini, saya akan dapat memakai pakaian yang sesuai dengan saya dan saya boleh menjadi sebahagian daripada komuniti."

Tags / Kata Kunci: gastrectomi , obesiti , kalori
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan