Gubah Wang Haram, Lelaki Dipenjara 13,275 Tahun - Berita Dunia | mStar

Gubah Wang Haram, Lelaki Dipenjara 13,275 Tahun

Diterbitkan: Sabtu, 30 Disember 2017 2:48 PM

Mangsa hadir di Jabatan Siasatan Khas di Bangkok pada Mei lalu bagi mendapatkan keadilan. - Bangkok Post/Apichit Jinakul

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Sebuah mahkamah di Thailand menjatuhkan hukuman penjara 13,275 tahun ke atas seorang lelaki kerana menipu 570 juta Baht (kira-kira RM73 juta) daripada lebih 2,500 orang melalui satu skim pelaburan palsu.

Bagaimanapun, mengikut undang-undang, lelaki berumur 34 tahun itu akan menjalani hukuman maksimum 20 tahun penjara mengikut tempoh penjara yang sebenar.

Menurut satu laporan dalam media tempatan pada Sabtu, lelaki terbabit, Phudit Kittitradilok didapati bersalah berhubung penipuan awam dan pengubahan wang haram dengan skim pelaburan yang didalanginya dari Ogos 2015 sehingga September 2016.

Walaupun tempoh hukuman penjara yang panjang dijatuhi ke atas lelaki itu oleh Mahkamah Jenayah Thailand, ia masih jauh daripada rekod pada 1989 apabila sebuah lagi mahkamah menjatuhi hukuman penjara 141,078 tahun ke atas seorang bekas pekerja Pihak Berkuasa Petroleum Thailand, Chamoy Thipyaso.

Thipyaso disabitkan dengan penipuan korporat.

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara lima tahun bagi setiap 2,653 pertuduhan penipuan awam dan 10 tahun untuk pengubahan wang haram, menjadikan jumlah hukuman penjara yang dijatuhi ke atas lelaki itu kepada 13,275 tahun.

Pada mulanya, Kittitradilok menafikan kesemua tuduhan semasa siasatan polis, tetapi mengaku bersalah semasa menghadapi tuduhan yang menyebabkan mahkamah mempertimbangkan dan mengurangkan hukuman penjaranya sehingga separuh menjadi 6,637 tahun dan enam bulan.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Skim Pelaburan Anti-piramid Samart Jenchaijitwanich berkata kira-kira 40,000 orang diperdaya untuk melabur dalam penipuan membabitkan kira-kira 5.3 bilion Baht (kira-kira RM670 juta).

Beliau meminta pihak berkuasa meminda undang-undang mengenai penipuan awam dengan menaikkan kadar penalti. - Bernama

Tags / Kata Kunci: penggubahan wang haram , penjara
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan