Amah Siar Video Budak Mandi Bogel Ditahan - Berita Dunia | mStar

Amah Siar Video Budak Mandi Bogel Ditahan

Diterbitkan: Selasa, 5 Disember 2017 3:13 PM

(Ubah saiz teks)

SEORANG pembantu rumah warga Indonesia di North Point, Hong Kong ditahan kerana menyiarkan pornografi kanak-kanak dengan memuat naik penstriman langsung perbuatannya memandikan tiga budak tanpa seurat benang.

Wanita berusia 28 tahun yang dilaporkan gemar merakam gambar swafoto dan memuat naik gambar atau video klip di laman sosial itu dikatakan menunjukkan rakaman kanak-kanak yang sedang mandi di sebuah flat di Electric Road pada Jumaat malam.

Kanak-kanak tersebut dilaporkan berusia antara tujuh hingga lapan tahun.

Rakaman yang berdurasi 17 minit itu telah ditarik pada Isnin.

Melalui rakaman itu, seorang daripada kanak-kanak terbabit bertanya sama ada pembantu rumah tersebut sedang merakam video dan memintanya untuk tidak berbuat demikian, namun wanita itu enggan berhenti melakukannya.

Sementera itu, seorang jurucakap polis berkata, seorang wanita membuat laporan pada pagi Isnin untuk memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Pembantu rumah berkenaan kemudiannya ditahan oleh pasukan siasatan Eastern District atas tuduhan menghasilkan bahan lucah kanak-kanak.

Pengerusi Persatuan Agensi Pekerjaan Hong Kong, Cheung Kit-man berkata, pembantu rumah tersebut mungkin tidak menyedari bahawa perbuatannya telah melanggar undang-undang.

Beliau berkata, pembantu rumah biasanya dilatih selama berbulan-bulan oleh ejen pekerjaan sebelum memulakan kerja.

Mereka akan diberitahu apa yang tidak boleh dilakukan dalam rumah majikan termasuk mengambil video atau gambar kanak-kanak.

Cheung berkata, beliau percaya insiden tersebut adalah kes terpencil.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan