Nak Sangat Gaduh? Biar 'Penyapu Ibu' Leraikan

Diterbitkan: Jumaat, 17 November 2017 10:07 AM

(Ubah saiz teks)

'THE power of emak-emak' adalah satu ungkapan gurauan yang digunakan di Indonesia terhadap sebuah video tular, menunjukkan bagaimana kuasa seorang ibu atau wanita berumur dapat menyelesaikan sesuatu masalah.

Satu klip video yang tular di Indonesia baru-baru ini menunjukkan berlakunya pergaduhan antara dua pelajar lelaki sambil adegan itu disaksikan oleh ramai pelajar lain.

Tiba-tiba muncul seorang 'emak' yang memakai baju merah jambu, dipercayai baju tidur ke tempat kejadian, menghayunkan penyapu tak ubah seperti seorang pahlawan untuk meleraikan pergaduhan.

Ternyata pergaduhan itu berjaya dileraikan, tetapi dia dilihat masih menghayunkan penyapunya dan mengejar salah seorang daripada pelajar lelaki yang lari lintang-pukang dari tempat pergaduhan.

Walaupun bulu penyapunya tercabut, wanita berkenaan masih sempat memungutnya dan terus mengejar pelajar tersebut.

Malah, dia sempat menjegilkan biji matanya terhadap beberapa pelajar yang berada dekat dengannya, menyebabkan mereka ketakutan dan terus lari.

Tidak dapat dipastikan di mana lokasi sebenar kejadian ini, tetapi berdasarkan uniform pelajar, ia dipercayai berlaku di Indonesia.

Pengajarannya adalah, jangan pandang rendah dengan kuasa seorang ibu!

Tags / Kata Kunci: penyapu terbang , kes gaduh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan