Apple Disiasat Kerana Alih Kos Iklan - Berita Dunia | mStar

Apple Disiasat Kerana Alih Kos Iklan

Diterbitkan: Selasa, 14 November 2017 12:14 PM

(Ubah saiz teks)

SEOUL: Kumpulan pemantauan korporat Korea Selatan sedang menyiasat amalan gergasi teknologi Amerika Syarikat, Apple Inc, yang mengalih kos iklan kepada pengendali perkhidmatan telekomunikasi mudah alih tempatan, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan sumber industri pada Selasa.

Tiga pengendali perkhidmatan terbabit di Korea Selatan telah memulakan iklan televisyen untuk iPhone 8 pada awal bulan ini.

Menurut sumber, ketika ini pengendali perkhidmatan telekomunikasi mudah alih tempatan terpaksa menanggung sepenuhnya kos iklan untuk produk Apple itu, yang boleh dianggap sebagai amalan perniagaan tidak adil.

"Apabila ada produk baharu, pengendali perkhidmatan terbabit akan menyiarkan iklan yang diputuskan oleh Apple," kata seorang pegawai satu daripada pengendali perkhidmatan telekomunikasi mudah alih tempatan.

"Memandangkan tidak ada tindakan yang diambil oleh Suruhanjaya Perdagangan Adil (FTC), pengendali perkhidmatan terbabit tidak mempunyai pilihan selain mematuhi garis panduan Apple untuk menarik perhatian pengguna selama beberapa saat."

Pejabat Apple di Korea Selatan bagaimanapun enggan mengulas mengenai siasatan itu, yang telah berjalan sejak tahun lepas, lapor Yonhap.

Pemerhati industri berkata, Apple turut menyalah guna kedudukannya untuk mengarahkan pengendali perkhidmatan terbabit menganjurkan majlis pelancaran produk baharu.

Mereka membandingkan syarikat itu dengan saingannya yang lain, seperti Samsung Electronics Co, yang menganjurkan majlis pelancaran mereka sendiri.

Sumber berkata meskipun Apple tidak berkongsi beban kos itu, ia masih mengarahkan pengendali perkhidmatan terbabit untuk mematuhi garis panduannya dalam mempamerkan produk dan reka bentuk iklan.

Amalan tidak adil lain termasuk mewajibkan pengendali perkhidmatan telekomunikasi mudah alih membuat pesanan dalam jumlah tertentu bagi sesuatu produk untuk dijual di negara itu, kata pemerhati industri.

Menurut laporan Bernama, sumber berkata FTC turut menyiasat isu ini.

Pada 2013, Taiwan telah mendenda Apple kira-kira 700 juta won (RM2,623,481) kerana mengawal harga iPhone.

Pada April tahun lepas, Perancis mengenakan denda sebanyak 64 bilion won terhadap syarikat gergasi AS itu kerana mengarahkan pengendali perkhidmatan telekomunikasi mudah alih menanggung kos iklan.

Tags / Kata Kunci: Apple , iPhone
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan