Thailand Batal Pasport Yingluck

Diterbitkan: Rabu, 1 November 2017 9:11 AM

Yingluck Shinawatra

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Kerajaaan Thai mengesahkan telah membatalkan pasport milik bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra yang kini menjadi pelarian setelah  ia menghadapi  kesukaran untuk memastikan lokasinya sekarang.

Menurut Perdana Menteri Thai, Jen Prayut Chan-o-cha, kerajaan juga tidak dapat mengesahkan spekulasi Yingluck berada di United Kingdom.

“Pengesahan rasmi di mana Yingluck berada mesti datang dari negara (di mana beliau berada),” beliau berkata kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet mingguan pada Selasa.

Spekulasi merebak bahawa beliau kini berada di United Kingdom untuk mendapatkan suaka selepas tiba dari Dubai di mana abangnya, bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra mempunyai sebuah rumah, tetapi difahamkan beliau mendiamkan diri sehingga permohonannya diluluskan London.

Yingluck, melarikan diri dari Thailand beberapa hari sebelum Mahkamah Agung pada 25 Ogos akan menentukan sama ada beliau bersalah atau tidak dalam kes kontroversi melibatkan skim subsidi beras  dilaksanakan di bawah pentadbiran beliau.

Ketidakhadiran beliau di mahkamah memaksa mahkamah menangguhkan penentuan sama ada beliau bersalah  atau tidak kepada 27 September, yang mana sembilan hakim kemudiannya mendapati beliau bersalah semasa ketiadaannya dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana gagal menghentikan amalan rasuah di dalam skim itu.

Kerajaan mendakwa skim subsidi beras  di bawah pentadbiran beliau itu dicemari dengan rasuah yang kemudiannya mengakibatkan Thailand mengalami kerugian kewangan yang besar.

Pada Selasa Menteri Luar Don Pramudwinai dipetik oleh media tempatan sebagai berkata, United Kingdom telah memberi jaminan tidak akan memberikan Yingluck suaka poltik untuk menetap di negara itu.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Thai Jen  Srivara Rangsibrahmanakul berkata Kementerian Luar sudah menjawab pada 25 Oktober lepas, surat awal yang meminta kesemua pasport  milik bekas Perdana Menteri itu dibatalkan.

Kementerian Luar Thai mengesahkan ia sudah membatalkan empat pasport milik Yingluck berikutan permintaan pihak polis.

Srivara juga berkata Polis Thai masih belum menerima sebarang maklumat daripada Polis Antarabangsa mengenai lokasi Yingluck. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Yingluck , Thailand

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan