Presiden Baharu Singapura Mahu Terus Tinggal Di Flat

Diterbitkan: Jumaat, 15 September 2017 3:34 PM

Halimah dan Mohamed Abdullah meninggalkan flat kediaman mereka di Yishun untuk ke NTUC Centre. -foto The Straits Times/Asia News Network

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Halimah Yacob begitu setia dengan kediamannya di Yishun dan beliau akan menjadi presiden wanita pertama Singapura yang tinggal di perumahan awam sepanjang memegang jawatan tersebut.

Wanita berusia 63 tahun itu, yang diisytiharkan sebagai presiden pada Rabu mengesahkan bahawa beliau tidak akan berpindah keluar dari rumah keluarganya walaupun statusnya telah berubah.

"Tempat itu sangat bagus, selesa, dan saya telah tinggal di sana selama bertahun-tahun," katanya kepada pemberita.

Halimah dan suaminya, Mohamed Abdullah Alhabshee membeli pangsapuri berkenaan di Yishun Avenue 4 lebih dari 20 tahun lalu semata-mata mahu tinggal dekat dengan ibunya.

Beliau tidak melepaskan peluang untuk membeli dua lagi unit kediaman apabila mendengar dua saudaranya yang tinggal di situ berhasrat untuk menjualnya.

Menurut Mohamed, kediamannya di flat 12 tingkat yang dibina pada tahun 1987 itu berkeluasan seperti sebuah 'penthouse'.

Dalam wawancara dengan Straits Times tidak lama sebelum beliau menjadi Speaker Parlimen pada tahun 2013, Halimah ditanya sama ada beliau masih mahu tinggal di rumah yang sama.

"Lebih daripada 80 peratus penduduk kita tinggal di flat HDB (pembangunan perumahan) dan jika ia cukup baik untuk mereka, ia juga cukup baik untuk saya."

Kehidupan di perumahan awam, menurut Halimah, juga mampu membuatkan beliau menyelami masalah yang perlu dihadapi rakyat Singapura setiap hari, misalnya ketika lif rosak atau ketika berdepan masalah kebersihan.

Yishun kini telah berkembang dan rumahnya mempunyai akses kepada kedai, klinik, pengangkutan awam dan Hospital Khoo Teck Puat yang terletak tidak jauh dari kawasan tempat tinggalnya.

Satu lagi kelebihan untuk Halimah, beliau akan mendapat senaman yang cukup, hanya dengan berjalan naik ke tingkat enam rumahnya selepas pulang dari kerja.

Jika masa mengizinkan, beliau juga akan menggunakan tangga untuk turun ke bawah.

Dikenali sebagai seorang yang merendah diri, Halimah juga rapat dengan jiran-jirannya.

Lee Swee Seng, yang menjual barangan keperluan di kawasan berhampiran berkata Halimah dan keluarganya telah menjadi pelanggan setianya sejak 17 tahun lalu.

Beliau juga merupakan seorang yang 'berwajah mesra ketika dalam lif', menurut vendor surat khabar G. Dabamani selain sering bertanya khabar jiran-jirannya.

"Dia sangat ramah dan merendah diri. Dia tidak berkelakuan seperti VIP," kata jiran lamanya, Henry Lim.

-foto The Straits Times

Bagi Halimah, rumahnya itu bukan semata-mata harta, tetapi sebuah 'repositori' yang menyimpan banyak kenangan tidak ternilai.

Ia merupakan satu-satunya rumah untuk tiga daripada lima anaknya yang berusia 26 hingga 36 tahun, dan ada antara mereka telah berkahwin.

Beliau juga ingin menegaskan kepada mereka kepentingan kehidupan komunal dan mengambil berat antara satu sama lain.

Memandangkan status dan kepentingan Halimah, polis telah mengetatkan langkah-langkah keselamatan di kawasan itu, dengan pakar menyatakan bahawa lebih ramai pegawai dan peralatan seperti kamera pengawasan mungkin akan dipasang.

Pada sebelah petang sebelum Hari Pencalonan, anggota polis dalam pakaian biasa ditempatkan di bawah bloknya dan meronda kawasan tersebut.

Ditanya mengenai keselamatan, Halimah berkata: "Saya akan menyerahkannya kepada jabatan keselamatan. Saya rasa mereka tahu bagaimana untuk menjamin keselamatan kawasan tersebut." - The Straits Times/Asia News Network

Tags / Kata Kunci: Halimah Yacob , flat

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan