“Pulangkan Al Aqsa!”

Diterbitkan: Khamis, 27 Julai 2017 5:43 PM

RIBUAN penduduk Palestin berdoa di luar perkarangan Masjid Al Aqsa bagi meraikan kejayaan mendesak Israel menarik semula pemasangan peralatan pemantauan di kawasan suci itu pada 26 Julai 2017. - AFP

(Ubah saiz teks)

SELEPAS kejayaan 'menundukkan' Israel untuk menarik semula pemasangan peralatan pemantauan di kawasan perkarangan Masjid Al Aqsa, pemimpin Islam kini menggesa agar 'memulangkan' semula kawasan suci itu kepada penduduk Palestin.

Pihak yang menguruskan Masjid Al Aqsa atau dikenali sebagai Islamic Waqf dalam kenyataannya berkata, penduduk Palestin dibenarkan memasuki kawasan suci itu dan mahu mereka bersolat semula di dalam masjid.

Sejak beberapa minggu lalu, penduduk Palestin hanya dibenarkan solat di luar perkarangan masjid tersebut susulan kawalan ketat oleh rejim Zionis termasuk pemasangan alat pengesan logam dan penghadang besi.

ABDEL-Azeem Salhab (tengah) bersama dua pemimpin Islam, mengeluarkan kenyataan berhubung tindakan Israel menanggalkan semula peralatan keselamatan di Masjid Al Aqsa pada 27 Julai 2017. - REUTERS

Tindakan Israel itu mencetuskan tunjuk perasaan berdarah sehingga mengakibatkan tujuh nyawa terkorban dan ratusan penduduk Palestin cedera ekoran pertempuran dengan rejim keselamatan Zionis.

Akhirnya, Israel menanggalkan peralatan keselamatan tersebut dan Pengarah Majlis Islamic Waqf, Abdel-Azeem Salhab berkata, penduduk Islam perlu menyambut kemenangan atas pengunduran rejim penjajah itu.

"Kita mengalu-alukan (penduduk Palestin) untuk bersolat dalam masjid ini.

"Penjajahan Israel selama berpuluh-puluh tahun cuba mencemari kesucian Masjid Al Aqsa.

"Kini kita tinggal di era kemenangan dan bersyukur dengan penduduk Palestin yang sanggup berkumpul dan berjuang," tambahnya. - Al Jazeera

Tags / Kata Kunci: Masjid Al Aqsa , Palestin , Israel

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan