Lelaki Mahu Tembak Presiden Perancis Depan Trump

Diterbitkan: Selasa, 4 Julai 2017 12:42 PM

TRUMP (kiri) ketika bertemu dengan Macron awal tahun ini. - AFP

(Ubah saiz teks)

PARIS: Seorang ahli kumpulan pelampau berhaluan kanan ditahan selepas didapati merancang untuk menembak Presiden Perancis, Emmanuel Macron di depan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada sambutan Hari Bastille.

Hari Bastille merupakan sambutan hari kebangsaan bagi penduduk Perancis yang disambut pada setiap 14 Julai.

Plot tersebut yang dirancang oleh lelaki tempatan berusia 23 tahun, digagalkan selepas suspek cuba membeli sepucuk senapang jenis Kalashnikov menerusi dalam talian.

Sumber pihak berkuasa di Paris menyebut, lelaki yang dirahsiakan namanya itu merupakan ahli kumpulan pelampau berhaluan kanan dan dikehendaki polis kerana mahu membunuh Macron.

Selain itu, suspek dipercayai mahu membunuh golongan berkulit hitam, penduduk Arabm Yahudi dan golongan homoseksual.

Dia didakwa pada Sabtu lalu atas kesalahan keganasan dan butiran lanjut tentang kes itu akan disiarkan dalam tempoh terdekat.

Suspek yang berasal dari Paris, dipercayai merancang membunuh Macron ketika beliau menyaksikan perbarisan pada sambutan Hari Bastille.

Presiden Trump dijadualkan menghadiri majlis sambutan itu sebagai tetamu kehormat bagi meraikan hari bersejarah Perancis yang menginati perjuangan Revolusi Perancis 1789.

Menurut Mail Online, pihak berkuasa mengesan plot suspek selepas dia didapati mencari senjata berkenaan dalam forum permainan video yang dipantau oleh anggota perisikan.

Apabila anggota polis antikeganasan menyerbu rumahnya di Argenteuil pada Rabu lalu, suspek mengancam anggota keselamatan menggunakan sebilah pisau.

Bagaimanapun cubaannya menakutkan pihak berkuasa tidak berjaya dan ditahan tidak lama kemudian.

Siasatan awal mendapati lelaki itu memiliki masalah mental dan pernah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun atas kesalahan keganasan dan menyebarkan sentimen kebencian kaum.

Tags / Kata Kunci: Donald Trump , Emmanuel Macron

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan