Video Trump 'Belasah' CNN Undang Kritikan

Diterbitkan: Isnin, 3 Julai 2017 10:31 AM

(Ubah saiz teks)

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dituduh menggalakkan keganasan terhadap pengamal media selepas berkongsikan video yang disunting seolah-olah menunjukkan dirinya membelasah seorang wartawan tempatan.

Video asal itu merupakan kemunculan Trump pada pertandingan gusti, World Wrestling Entertainment (WWE) WrestleMania 23 yang dirakamkan pada 2007, menunjukkan beliau membelasah pengerusi WWE, Vince McMahon.

Namun dalam video yang disunting dan disiarkan dalam laman Twitter miliknya, kepala McMahon ditukar dengan logo syarikat penyiaran terkemuka AS, CNN.

Selepas Trump 'membelasah' CNN, muncul logo 'FNN Fraud News Network' yang bermaksud rangkaian berita palsu di bahagian bawah video itu.

Video itu disiarkan sehari selepas Trump secara terbuka melabel CNN sebagai rangkaian berita penipu dan mendakwa media sosial yang digunakannya sebagai lebih moden.

Mengulas tentang video kontroversi tersebut, jurucakap White House, Sarah Huckabee Sanders berkata, Trump tidak sesekali menggalakan keganasan.

Ujarnya, video berkenaan disunting dan disiarkan lebih awal pada laman web Reddit sebelum tersebar dalam kalangan penyokong Trump. 

Namun tindakan Trump berkongsi video tersebut mengundang kritikan pelbagai pihak terutamanya golongan media yang mendakwa Presiden AS itu cuba menggalakan keganasan terhadap pengamal media. - MAIL ONLINE

Tags / Kata Kunci: Donald Trump , CNN

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan