Wasiat: Apa Kata PM Singapura

Diterbitkan: Sabtu, 17 Jun 2017 10:23 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menimbulkan persoalan berkaitan wasiat bapanya yang juga pengasas negara itu, Lee Kuan Yew.

Menurutnya, terdapat persoalan serius mengenai bagaimana wasiat bapanya ditulis.

Pada Rabu lepas, adik lelaki dan perempuan Perdana Menteri berkenaan, Lee Hsien Yang dan Lee Wei Ling berkata, mereka hilang keyakinan terhadap Hsien Loong dan bimbang institusi negara akan digunakan ke atas mereka.

Hsien Yang juga memberitahu bahawa beliau dan isterinya, Lee Suet Fern akan me­ninggalkan Singapura kerana mereka diawasi dengan rapi dan berasa terancam.

Garis masa yang dikeluarkan pasukan peguam Hsien Loong dan disiarkan di Facebook pada Khamis menunjukkan ketiga-tiga anak Kuan Yew itu telah bertelagah mengenai wasiat bapa mereka selama beberapa tahun.

Isu utama dalam krisis keluarga ini melibatkan masa depan rumah yang didiami Kuan Yew hampir sepanjang hayatnya.

Sebelum mendiang meninggal dunia pada 2015, beliau membuat pengumuman terbuka supaya kediaman dekat Orchard Road itu dirobohkan dan tidak dijadikan sebagai muzium.

Namun, Hsien Loong menyatakan dalam garis masa setebal enam muka surat itu bahawa versi kelima dan keenam wasiat bapanya telah menggugurkan perkara mengenai merobohkan rumah tersebut.

Bagaimanapun fasal sama hanya dimasukkan semula dalam wasiat terakhir dan muktamad iaitu versi ketujuh.

Hsien Loong mempersoalkan sama ada bapanya menyedari fasal itu dimasukkan semula dan berkata, tiada bukti menunjukkan perkara itu berlaku.

Perdana Menteri itu juga mempersoalkan peranan isteri adik lelakinya, Suet Fern dalam wasiat terakhir Kuan Yew.

Hsien Loong berkata, Suet Fern mungkin terlibat sama ada dalam penyediaan atau peme­teraian versi akhir wasiat Kuan Yew.

Perkara itu katanya, mencetuskan konflik kepentingan kerana suami Suet Fern merupakan pewaris dalam wasiat tersebut.

Hsien Loong juga berkata, terdapat satu lagi perubahan besar dalam wasiat bapanya seperti yang tertera dalam versi keenam di mana Kuan Yew memberikan anak perempuannya, Wei Ling bahagian lebih besar dalam hartanya berbanding Hsien Loong dan Hsien Yang. 

Bagaimanapun, wasiat terakhir menyatakan bahawa mereka mendapat bahagian yang sama rata.

Menurut Perdana Menteri itu, beliau tidak mencabar wasiat tersebut di mahkamah kerana tidak mahu mendedahkan masalah keluarga kepada umum. – Reuters



Tags / Kata Kunci: Lee Kuan Yew , Singapura , Hsien Loong

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan