Kebakaran Grenfell Tower, Apa Perlu Anda Tahu...

Diterbitkan: Khamis, 15 Jun 2017 2:38 PM

-fotoAP

(Ubah saiz teks)

12 maut dalam kejadian kebakaran pangsapuri Grenfell Tower dan bilangan kematian dijangka meningkat, polis melaporkan.

Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan 65 mangsa kebakaran dari blok berkenaan di yang terletak di Utara Kensington, sebaik sahaja mereka dihubungi pada 12.54 pagi.

Saksi berkata terdapat mangsa yang terperangkap di blok bangunan dan ada yang terjun dari tingkap untuk menyelamatkan diri.

Theresa May berkata siasatan penuh akan dijalankan dan jika terdapat pengajaran yang boleh diambil dari kes ini.

Kebanyakan mangsa sedang tidur ketika api marak.

Bangunan itu mempunyai 120 unit flat, punca kebakaran masih tidak diketahui.

Perkhidmatan ambulan melaporkan 68 pesakit telah dibawa ke enam buah hospital di London dan 18 orang cedera parah. 10 pesakit lain mampu pergi sendiri ke hospital.

Ramai lagi mangsa yang tidak dapat dijejaki dan keluarga mereka berusaha mendapatkan maklumat dari sosial media.

Antara mereka yang hilang adalah Jessica Urbano Ramirez, 12, pemandu lori yang sudah bersara, Tony Disson, 66, dan pengawal keselamatan Mo Tuccu.

Saksi yang menyaksikan kebakaran itu melihat cahaya api menyala terang di blok flat paling atas.

Penduduk flat yang terperangkap menuju ke tingkap dan sesetengah daripada mereka memegang anak.

Saksi berkata seorang bayi telah ditangkap oleh orang awam apabila dicampakkan dari atas blok bangunan.

Talian kecemasan- 0800 0961 233 boleh dihubungi untuk mendapatkan maklumat mengenai rakan atau keluarga.

Polis metropolitan, Komander Stuart Cundy,  berkata: “Buat masa ini, terdapat 12 mangsa yang terkorban dan saya yakin, jumlah kematian akan meningkat."

Penolong Pesuruhjaya Pasukan Bomba London, Steve Apter, berkata masih ada kawasan yang tidak dapat dipadamkan api kerana sukar untuk dijangkau, tetapi hampir semua flat telah diperiksa.

Pemeriksaan telah dijalankan di bangunan tersebut dan tiada risiko ia akan roboh, menurut Pasukan Bomba London.

Paul Munakr, yang tinggal di aras tujuh, telah berjaya menyelamatkan diri.

“Semasa saya turun tangga, saya nampak ramai anggota bomba yang menaiki tangga dan menuju ke arah api yang marak untuk membantu mangsa keluar dari bangunan,” dia memberitahu BBC.

Dia mengetahui tentang kebakaran bukan dari penggera kebakaran, tetapi daripada suara jeritan orang ramai di jalan raya.

Saksi Jody Martin berkata: “Saya melihat seseorang jatuh dan seorang wanita memegang bayinya ke luar tingkap dan saya mendengar jeritan.

“Saya menjerit kepada semua orang untuk turun tetapi mereka berkata 'kami tidak dapat tinggalkan kediaman kami kerana asap sangat tebal di koridor’."

Michael Paramasivan, yang tinggal di aras tujuh bersama teman wanita dan anak perempuannya, tidak mengendahkan nasihat penyelamat untuk terus berada di dalam rumah.

“Jika kami tidak keluar, kami akan mati. Gerak hati memberitahu saya untuk menegluarkan keluarga saya. Saya membungkus anak saya kerana asap tebal dan mengeluarkan mereka."

Zoe, yang tinggal di aras empat berkata dia terbangun dari tidur apabila mendengar bunyi pintu diketuk oleh jirannya.

“Penggera kebakaran tidak berbunyi tetapi asap telah merebak dengan cepat dari aras empat ke aras 23 dan ia sangat menakutkan."

Majlis Daerah Royal Borough Kensington dan Chelsea berkata kebakaran ini telah membahayakan 44 buah rumah.

Kepada mereka yang tidak dapat pulang ke rumah, sebuah pusat rehat telah disediakan di Pusat Sukan Westway, dan penduduk yang mengalami kecederaan perlu menghubungi 020 7361 3008.

Grenfell Tower telah menjalani kerja-kerja pengubahsuaian dengan kos sebanyak £8.6 juta (RM46.65 juta) dan telah siap pada Mei 2016.

Bangunan 24 tingkat itu diuruskan oleh Organisasi Pengurusan Penyewa Kensington dan Chelsea bagi pihak majlis daerah.

Sebelum dan semasa pengubahsuaian, Kumpulan Grenfell Action menegaskan bahawa blok itu boleh memberi risiko kebakaran dan penduduk telah diberi larangan keras berkenaan kenderaan kecemasan.

Menteri Polis dan Bomba Nick Hurd berkata, pemeriksaan telah dirancang ke atas blok bangunan yang melakukan pengubahsuaian yang sama.

Firma pembinaan Rydon, yang menjalankan pengubahsuaian tersebut berkata, mereka terkejut mendengar kes kebakaran itu berlaku.

Bangunan itu telah disahkan memiliki piawaian bangunan yang baik, pengawalan api serta selamat untuk didiami.

Kemudian, satu kenyataan telah dikeluarkan sebagai ganti iaitu ‘menepati piawaian bangunan’.

Menurut Organisasi Pengurusan Penyewa Kensington dan Chelsea, ‘masih terlalu awal untuk membuat spekulasi tentang punca kebakaran.'

Perdana menteri telah berjanji untuk menyiasat dengan lebih terperinci tentang kebakaran itu.

Ketua politik, Jeremy Corbyn berkata: “Kami perlu mengetahui tentang laporan, informasi yang diberi dan tindakan yang telah diambil.”


Tags / Kata Kunci: Grenfell Tower

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan