Undi Mahu Terbang Atau Tidak - Penumpang EasyJet

Diterbitkan: Isnin, 12 Jun 2017 1:19 PM

(Ubah saiz teks)

PENUMPANG syarikat penerbangan EasyJet mendakwa, nyawa mereka diperjudikan oleh kapten pesawat terbabit selepas diminta mengundi sama ada mahu meneruskan penerbangan atau tidak.

Menurut beberapa penumpang yang enggan dikenali, kapten berkenaan berbuat demikian untuk mengetahui sama ada dia perlu meneruskan penerbangan walaupun enjin pesawat itu mengalami masalah teknikal.

Kesemua penumpang terbabit yang menaiki penerbangan dari Malaga, Sepanyol ke Bristol, England berdepan penangguhan selama 36 jam apabila kapten pesawat meminta penumpang mengundi untuk meneruskan penerbangan.

Hanya 12 penumpang bersetuju meneruskan perjalanan manakala selebihnya membantah dan mahu turun daripada pesawat.

Bagaimanapun, pihak syarikat penerbangan itu menafikan kejadian tersebut berlaku dengan menjelaskan bahawa juruterbang sebenarnya bertanya kepada penumpang sama ada mahu tinggal di dalam pesawat atau tidak selepas satu daripada enjin mengalami kerosakan.

Namun saksi kejadian berkata, juruterbang itu memaklumkan kepada 150 penumpang bahawa peluang untuk memastikan kedua-dua enjin berfungsi adalah 50-50.

Seorang lelaki dari Bath yang dilantik sebagai jurucakap penumpang berkata, dia berasa jelik apabila mengetahui undian perlu dibuat.

"Juruterbang itu sendiri mengakui dia tidak pernah mendengar atau melakukan (undian) sepanjang pengalamannya 37 tahun dalam dunia penerbangan.

"Dia memberikan kami pilihan dan meminta apa yang perlu dilakukan.

"Dia meminta kami mengangkat tangan jika bersetuju dan hanya sedikit sahaja yang mahu mencubanya.

"Selebihnya tidak mahu dan mula berasa panik," katanya.

Sementara itu, jurucakap Easyjet berkata kepada Metro.uk, kejadian itu berpunca selepas satu daripada enjin gagal untuk dihidupkan.

"Disebabkan itu, juruterbang berkenaan memaklumkan kepada penumpang tentang kemungkinan berlaku penangguhan penerbangan akibat masalah teknikal.

"Dia bertanya kepada penumpang mahu kekal berada dalam pesawat atau keluar ketika usaha menghidupkan enjin dilakukan.

"Akhirnya, EasyJet mengambil keputusan untuk memindahkan penumpang ke penerbangan lain," katanya.

Tags / Kata Kunci: EasyJet

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan