Serbia Roboh Masjid Menjelang Ramadan

Diterbitkan: Sabtu, 27 Mei 2017 10:22 AM

(Ubah saiz teks)

BELGRADE: Sehari sebelum Ramadan, umat Islam Serbia dikejutkan dengan tindakan pihak berkuasa negara itu merobohkan sebuah masjid yang masih dalam pembinaan.

Tindakan itu diambil kerana projek berkenaan dikatakan dilaksanakan tanpa mendapat permit binaan sah.

Bagaimanapun, bantahan penduduk Islam dalam kalangan minoriti Roma (gipsi) menyebabkan usaha merobohkan binaan masjid itu tergendala seketika.

Keesokannya pihak berkuasa kembali ke tapak projek bersama anggota keselamatan dan terus memusnahkan masjid itu.

Masjid dua tingkat tanpa menara dibina di kawasan kejiranan Zemun pada 2014.

Pengurus bandar ini, Goran Vesic, berkata pihak berkuasa memusnahkan 'bangunan dibina secara haram, sejajar dengan undang-undang', lapor agensi berita Tanjug.

Sementara itu, ulama terkenal ibu kota ini, Mufti Muhamed Jusufpahic berkata, masyarakat Islam akan memfailkan bantahan kepada Presiden Serbia.

"Kami amat terkejut perkara ini berlaku ketika kemuncak sambutan Ramadan," Jusufspahic kepada Reuters.

Ibu negara Serbia dengan kira-kira 1.6 juta penduduk memiliki sejumlah 20,000 penduduk Islam dan hanya ada sebuah masjid dibina pada 1575, ketika wilayah Balkan diperintah empayar Uthmaniyyah Turki.

Serbia memiliki sekitar 230,000 penduduk Islam atau 3.1 peratus daripada jumlah penduduk, kebanyakannya tertumpu di rantau barat daya Sandzak yang bersempadan Bosnia, Kosovo dan Montenegro. - Reuters

Tags / Kata Kunci: Serbia , Roma

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan