Tiga Suspek Serangan Bom Dari Bandung

Diterbitkan: Jumaat, 26 Mei 2017 2:19 PM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Tiga suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes letupan bom di sini yang mengorbankan lima nyawa dan mengakibatkan 11 cedera.

Suspek dari Bandung, Jawa Barat itu dikenali sebagai Jajang Iqin Shodiqin, 56; Waris Suyitno alias Masuit, 37 dan Asep alias Abu Dafa yang usianya tidak diketahui.

"Awal pagi tadi (Jumaat), tiga individu ditahan dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan pengganas di Kampung Melayu," kata jurucakap polis Jawa Barat, Komisioner Kanan Yusri Yunus seperti dilaporkan kompas.com.

Beliau berkata, skuad Densus 88 menahan ketiga-tiga suspek di lokasi berlainan di daerah berkenaan dan kini sedang disoal siasat.

Siasatan mendapati Jajang yang mempunyai beberapa nama memainkan peranan dalam mengumpul dana untuk membantu sekolah berasrama Darul Anshor yang membawa pendekatan radikal Islam.

Sumber polis memberitahu The Straits Times, identiti suspek pertama pengebom nekad adalah Ichwan Nurul Salam, 34 yang juga dari Bandung.

Ketika ini, pihak polis dalam proses untuk mengenal pasti identiti pengebom nekad kedua.

Siasatan awal mendapati anggota militan bernama Solihin adalah pengebom nekad kedua dan dia didapati mempunyai kaitan kegiatan di sekolah sama.

Kumpulan Negara Islam (IS) mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan di Terminal Bas Kampung Melayu di Jakarta Barat yang mensasarkan polis yang mengiringi perarakan tradisi penduduk setempat bagi menyambut kedatangan Ramadan.

Tiga anggota polis dan dua pengebom nekad maut dalam dua serangan itu. - The Straits Times/Asia News Network 





Tags / Kata Kunci: Bandung , Kampung Melayu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan