'Yaba' Dalam Lori Bancuh Simen

Diterbitkan: Rabu, 17 Mei 2017 5:21 PM

Dua lelaki ditahan oleh pihak berkuasa bersama 2.2 juta pil Methaphetamine 'Yaba' yang disorokkan dalam sebuah lori simen dipercayai cuba dihantar ke Hatyai untuk diseludup ke Malaysia, Rabu. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Polis Thailand memintas sebuah treler pembancuh simen yang disumbat dengan 2.2 juta pil khayal yaba (dadah jenis methamphetamine) dinaiki dua lelaki, Sabtu lepas ketika menuju ke Hatyai, di selatan Thailand, untuk menghantar konsainan haram itu.

Kedua-dua lelaki itu yang ditahan di wilayah Chumphon, enggan mendedahkan sebarang maklumat mengenai destinasi dadah itu selepas tiba di Hatyai, tetapi pihak berkuasa Thailand percaya dadah itu akan diseludup melalui sempadan untuk dibawa masuk ke Malaysia.

“Kedua-dua suspek enggan beritahu kami sama ada dadah itu untuk  diseludup ke Malaysia selepas tiba di Hatyai, tetapi berdasarkan laluan penyeludupan, ia menuju ke Malaysia,” kata komander polis Wilayah Selatan 8, Leftenan Jeneral Thesa Siriwatho kepada Bernama hari ini.

“Kedua-dua suspek berusia 48 dan 32 tahun itu, berkata mereka mengambil dadah itu di Daerah Fang, Chiangmai di utara Thailand dan dijanjikan bayaran 500,000 Bath (kira-kira RM60,000) untuk menghantar konsainan itu kepada lelaki yang tidak dikenali di Hatyai.

Pada 13 Mei lalu, pihak berkuasa Thailand berjaya memintas sebuah lori kecil yang membawa 1.1 tan ganja dan 1.2 juta  pil Yaba di daerah Banmor, wilayah Saraburi ketika menuju ke Hatyai, dengan tujuan yang sama untuk menyeludup dadah itu ke Malaysia.

Empat lelaki termasuk seorang bekas anggota polis ditahan dalam operasi besar-besaran, yang menurut pihak berkuasa Thailand dadah itu kemungkinan akan dieksport semula ke negara ketiga dari Malaysia.

Sementara itu, Siriwatho berkata treler pembancuh simen yang dinaiki dua lelaki itu ditahan di pusat pemeriksaan di Chumpon dan diiringi ke stesen minyak berhampiran untuk pemeriksaan lanjut selepas pihak berkuasa mensyaki sesuatu yang tidak kena tentang kenderaan itu dan kedua-dua lelaki berkenaan.

“Pegawai itu merasa curiga kerana treler itu dipandu begitu jauh dari Chiangmai ke Hatyai,” katanya dan menambah selepas pemeriksaan lanjut, kedua-dua suspek mendedahkan kewujudan 22 beg yang mengandungi dadah yang disorok bersama-sama serbuk simen di dalam pembancuh simen treler itu.

Daerah Fang adalah sebuah daerah terpencil di Chiangmai, berhampiran sempadan Myanmar, terletak beribu-ribu kilometer dari Hatyai.Kedua-dua lelaki itu mengaku pernah melakukan perjalanan sama menghantar konsainan dadah dari utara Thailand ke selatan Thailand sebelum ini.

“Ini bukan kali pertama, malah mereka juga gagal untuk mengingati berapa kali penghantaran telah mereka uruskan sebelum ini,” kata Siriwatho dan menambah kedua-dua lelaki itu menerima bayaran 50,000 Bath (kira-kira RM6,000) dan bakinya akan dibayar selepas tiba di Hatyai.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Konsainan Dadah , lori Simen , hatyai

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan