Hwasong-12: Pemusnah Bandar Los Angeles

Diterbitkan: Selasa, 16 Mei 2017 11:06 AM

(Ubah saiz teks)

PYONGYANG: Korea Utara akhirnya menyiarkan rakaman dan gambar detik-detik akhir pemimpin negara itu, Kim Jong-un mengadakan pemeriksaan terhadap peluru berpandu baharu yang mampu membawa peledak nuklear sebelum diuji pada Ahad lalu.

Antara gambar yang disiarkan termasuk aksi Jong-un memerhatikan peluru berpandu balistik, Hwasong-12 dan detik beliau berbual dengan pegawai tentera dengan berlatar belakangkan senjata tersebut.

Aksi paling menarik adalah ketika Jong-un berdiri bersebelahan kenderaan yang membawa senjata itu dan kelihatan peluru berpandu terbabit sedang ditegakkan untuk diuji.


Sekeping lagi gambar menunjukkan Jong-un ketawa bersama pegawai tenteranya selepas ujian tersebut selesai dan beliau berikrar untuk menjalankan lebih banyak ujian peluru berpandu ekoran kejayaan Hwasong-12.

Dalam ujian itu, misil berkenaan terbang sejauh melebih 600 kilometer sebelum terhempas di Laut Jepun berdekatan dengan kawasan persisiran pantai Rusia.

Hwasong-12 yang merupakan misil balistik kategori jarak sederhana, mencapai jarak paling jauh yang pernah diuji oleh rejim Korea Utara dan ia memiliki keupayaan untuk mencapai jarak sehingga 4,000 kilometer.


Jong-un mendakwa, senjata baharunya itu boleh mencapai jarak tanah besar Amerika Syarikat terutamanya bandar Los Angeles sekiranya dilancarkan dari lokasi yang sama pada Ahad.

Sebelum ini, Korea Utara giat membangunkan peluru berpandu antara benua (ICBM) yang dinamakan sebagai Taepodong, tetapi kejayaan ujian senjata tersebut masih belum dapat disahkan.

Bagaimanapun Pusat Perintah Tentera Amerika Syarikat di Pasifik berkata, peluru berpandu Taepodong 2 yang diuji sebelum itu tidak konsisten dengan misil ICBM.


Sementara itu, Washington dalam maklum balasnya terhadap ujian terbaharu Korea Utara, berkata, tindakan lebih tegas akan diambil terhadap Pyongyang.

"Biarkan provokasi itu diadili oleh semua negara untuk melaksanakan sekatan yang lebih tegas ke atas Korea Utara," jelas Washington.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijadualkan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan pelancaran peluru berpandu Korea Utara pada Selasa. - MAIL ONLINE

Tags / Kata Kunci: Korea Utara , Kim Jong-un

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan