Stok Dadah Ke Eropah Dicantas

Diterbitkan: Isnin, 15 Mei 2017 12:27 PM

PIHAK berkuasa Thailand merampas 1.2 juta pil Methamphetamine dan 1.1 tan ganja dari sebuah lori di daerah Banmor, Saraburi pada 14 Mei 2017. - BERNAMA

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Sindiket dadah antarabangsa menerima satu lagi tamparan hebat apabila pihak berkuasa Thailand memintas sejumlah besar dadah yang dirancang untuk dihantar ke sebuah negara Eropah dengan kemungkinan menjadikan Malaysia sebagai transit.

Dadah berkenaan, 1.2 juta pil ''Yaba'' (Crazy) yang dihasilkan daripada sejenis dadah methamphetamine dan 1.1 tan ganja, dirampas daripada sebuah lori kecil kira-kira pada 3 petang (waktu tempatan) di daerah Banmor, wilayah Saraburi, Ahad.

Ketika dirampas, dadah itu dipercayai akan dibawa ke Hatyai di selatan Thailand.

"Kami percaya dadah berkenaan dirancang untuk diseludup masuk ke Malaysia dari Hatyai dan dari sana (Malaysia), ia akan dihantar ke sebuah negara ketiga.

"Kami tidak menolak kemungkinan dadah itu disasarkan untuk dihantar ke sebuah negara Eropah setelah tiba di Malaysia, di mana harganya boleh meningkat tiga atau empat kali ganda," kata sumber berkedudukan tinggi kepada Bernama pada Isnin.

Menurut sumber itu, empat lelaki berusia diantara 42 dan 54 tahun ditahan bagi membantu siasatan berkaitan sebuah rangkaian dadah antarabangsa yang mempunyai hubungan dengan Eropah.

Beliau berkata pihak berkuasa menahan lori berkenaan di Saraburi, yang terletak di tengah bahagian Thailand, selepas menerima maklumat risikan mengenai cubaan sindiket dadah antarabangsa untuk menyeludup dadah itu dari utara ke selatan Thailand.

Katanya pihak berkuasa juga memantau pergerakan seorang daripada suspek sejak dia dibebaskan daripada penjara pada Jun tahun lepas.

"Kami menerima maklumat bahawa kumpulan berkenaan cuba mengangkut dadah dari timur laut Thailand ke Hatyai dan bertindak terhadap empat lelaki terbabit semalam," kata sumber itu.

Tags / Kata Kunci: Sindiket Dadah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan