Hari Ke-100 Donald Trump

Diterbitkan: Ahad, 30 April 2017 10:57 AM

(Ubah saiz teks)

PRESIDEN ke-45 Amerika Syarikat (AS) ini sememangnya tidak pernah lekang dengan timbunan kontroversi.

Sabtu, menandakan 100 hari pertama Donald Trump di Rumah Putih yang mencatatkan pelbagai pencapaian ‘luar biasa’ dalam usaha untuk menunaikan janjinya ketika kempen pilihan raya sebelum ini.

Jika anda menyokong jutawan hartanah ini dari awal, anda akan dapat melihat kemajuan sebenar seperti keyakinan ekonomi berkembang selain kejayaan mesyuarat bersama pemimpin asing.

Selain itu, Trump turut berjaya meraih pengesahan Senat berhubung pelantikan hakim konservatif, Neil Gorsuch di Mahkamah Agung dan perubahan penting melibatkan lebih 40 perintah eksekutif, tindakan dan memorandum untuk mengubah dasar pendahulunya, Barack Obama.

Di samping kejayaan yang dicapai beliau sejak mengambil alih Rumah Putih pada 20 Januari lalu, banyak pihak lebih memberi tumpuan terhadap ‘kegagalan’ agenda pemimpin itu sepanjang tempoh tersebut, terutamanya larangan perjalanan rakyat dari negara majoriti Islam, rancangan pembinaan tembok sempadan AS-Mexico yang masih tergendala kerana gagal untuk mendapatkan dana daripada kerajaan dan janji untuk memansuhkan pelan perubatan Obamacare.

Sebelum ini, Bill Clinton dan John F Kennedy merupakan bekas presiden pernah merekodkan pencapaian awal yang lemah.

Kini, Trump pula dilihat jauh lebih lemah daripada kedua-dua bekas pemimpin terbabit sepanjang tempoh ‘bulan madu politik’ itu.

Saintis politik di Universiti Loyola di Chicago, John Frendreis berpendapat 100 hari pertama Trump adalah hampir sama dengan Clinton.

“Pentadbirannya tidak teratur, hilang fokus dan gagal untuk meluluskan pakej rangsangan ekonomi. Bagaimanapun, Clinton berjaya menangani kekurangan itu walaupun bermula agak lemah dan Trump mungkin akan berdepan situasi sama,” jelasnya.

Presiden populis terbabit turut mengubah pendirian terhadap beberapa isu seperti China yang sebelum ini dianggap sebagai ‘pemanipulasi mata wang’ selain menyatakan sokongannya terhadap Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang sebelum ini digelar sebagai ‘usang’.

Beliau juga cuba untuk mengukuhkan hubungan dengan sekutu AS menerusi penghantaran pasukan tentera tambahan kononnya untuk membantu mengekang konflik global.

Beberapa penganalisis di Washington dan luar negara menyatakan kebimbangan mereka terhadap Trump yang tiada sebarang pengalaman dasar luar, kekosongan ratusan kakitangan keselamatan negara dan kebergantungan terhadap ahli keluarga tidak berpengalaman dalam bidang politik yang dilantik memegang jawatan penting di Rumah Putih.

PEMIMPIN REAKTIF, TAKTIKAL 

Trump dilihat sebagai pemimpin reaktif dan taktikal yang masih tiada visi strategik.

Dalam tempoh tiga bulan pertama pentadbirannya, beliau terus bersikap dingin dengan pihak media di Washington dan masih dihimpit pelbagai persoalan berhubung ‘hubungan rapatnya’ dengan Rusia yang didakwa menyebabkan kekalahan pesaingnya daripada Parti Demokrat, Hillary Clinton ketika pilihan raya lalu.

Bekas Duta AS ke Iraq dan Turki, James Jeffrey berkata, Trump yang tiada pengalaman dalam bidang politik mengambil langkah bergaul rapat dengan Setiausaha Pertahanan, James Mattis dan Penasihat Keselamatan Negara, H R McMaster.

“Beliau telah menunjukkan kesediaan untuk ‘tunduk’ kepada mereka. Ia masih tidak jelas, Trump ada visi strategik sebenar dalam menentukan hala tuju negara,” katanya.

Beliau turut mengambil keputusan drastik berkaitan tindakan ketenteraan dengan menghantar kapal pengangkut, USS Carl Vinson berhampiran Semenanjung Korea yang dikhuatiri akan meningkatkan lagi ketegangan dengan Pyongyang, mengebom kedudukan kumpulan militan Daesh di Afghanistan dan melancarkan kira-kira 59 peluru berpandu Tomahawk ke Syria yang turut mendapat pelbagai respons masyarakat antarabangsa, bulan lalu.

Menurut penasihat kanan, Program Keselamatan Antarabangsa CSIS, Christine Wormuth, maksud ‘Amerika Didahulukan’ yang sering dilaungkan Trump sebenarnya dilihat dari sudut perdagangan.

“Beliau mahu tawaran lebih baik. Tetapi, bagaimana pula dengan masalah di luar bidang perdagangan?,” ujarnya.

Wormuth turut mempersoalkan sama ada Trump boleh belajar menjadi seorang pemimpin yang konsisten kerana beliau pernah menyatakan terdapat perbezaan ketika berkempen dan apabila berdepan dunia sebenar hingga menyebabkannya berpendirian flip flop terhadap beberapa isu.

Jelasnya, sebahagian besar perkara penting dalam dasar luar adalah konsistensi dan komunikasi jelas terhadap sekutu atau musuh.

“Jika sekutu anda hilang kepercayaan, ia adalah sangat berbahaya. Dasar luar dibina atas prinsip, perintah perdagangan antarabangsa, undang-undang antarabangsa dan rangka kerja keselamatan.

“Apabila anda menggoncang asas ini, tiada siapa boleh bergantung kepadanya lagi. Pakatan ini seperti pasu, sekali ia pecah masih boleh dicantumkan semula tetapi tidak akan ‘kuat’ seperti sebelum ini,’ katanya.

Setiap presiden akan melalui keluk pembelajaran dan Trump juga tidak terkecuali.

“Tiada sekolah untuk presiden. Persoalan utamanya adakah beliau belajar sesuatu?,” kata bekas perunding keamanan Timur Tengah untuk Jabatan Negara AS, Aaron David Miller.

TAHUKAH ANDA

Franklin D Roosevelt mencipta idea 100 hari pertama presiden yang sebenarnya merujuk kepada 100 hari pertama sesi khas Kongres untuk menangani Kemelesetan Besar Tandatangani 28 rang undang-undang.

Trump menjadi presiden AS paling produktif dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya dalam kiraan rang undang-undang yang ditandatangani beliau sejak Harry Truman.

‘Walaupun berdepan sekatan Demokrat, beliau tetap menandatangani rang undang-undang tersebut yang kemudiannya dikemukakan kepada Kongres untuk diluluskan. Sebahagian daripadanya adalah janji beliau kepada rakyat,’ kata Setiausaha Akhbar di Rumah Putih, Sean Spicer.

Setakat ini, 28 rang undang-undang telah ditandatangani jutawan hartanah tersebut manakala Truman pernah menandatangani 55 dokumen sama pada 100 hari pertama selepas pilihan raya yang menyaksikan kemenangannya pada 1948.

Menurut data GovTrack dan kajian oleh saintis politik, John Frendreis, Raymond Tatalovich dan Jon Schaff, tiada presiden yang melakukan langkah sama sejak pentadbiran Truman.

John F Kennedy berada di belakang Trump dengan menandatangani 26 rang undang-undang, manakala jumlah paling rendah iaitu tujuh dokumen sama ditandatangani George W Bush.

RAIH SOKONGAN PALING RENDAH


Tinjauan terbaru dilakukan CNN/ORC menunjukkan Trump meraih sokongan paling rendah dan tidak menunjukkan sebarang tanda peningkatan.

Secara keseluruhan, hanya 44 peratus responden menyokong cara Trump mengendalikan tanggungjawabnya sebagai presiden manakala 54 peratus lagi berpendapat sebaliknya.

Penanda aras 44 peratus meletakkan Trump sebagai presiden kurang popular sejak Presiden ke-34, Dwight Eisenhower yang berkhidmat dari 1953 hingga 1961.

100 hari pertama pentadbiran jutawan hartanah itu menghasilkan beberapa kejayaan ketara dengan majoriti rakyat AS melihat beliau sebagai pemimpin yang kuat selepas Trump berusaha memberi tekanan kepada syarikat di negara itu untuk menyediakan peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, kaji selidik dilakukan Washington Post- ABC News mendapati majoriti rakyat AS percaya presiden Republikan itu tidak meraih sebarang pencapaian memberangsangkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan pertama selepas beliau mengambil alih Rumah Putih.

Menurut tinjauan tersebut, dari segi tingkah laku dan kejujuran, Trump hanya menunjukkan peningkatan yang sedikit.

TWITTER MEDIUM KEGEMARAN TRUMP

Kisah pencapaian Trump boleh dibaca melalui Twitter yang menjadi medium kegemarannya untuk lantang bersuara tentang pelbagai isu.

Lebih 500 tweet dimuat naik dari akaun Twitter sejak beliau mengambil alih Rumah Putih.

Tidak seperti pendahulunya, Trump menggunakan laman mikro itu untuk menyampaikan mesej dalam pelbagai nada.

Kebanyakan tweet beliau adalah berkaitan hujah atau komen politik yang turut ditujukan kepada musuh politik beliau.

Selain itu, Trump turut menggunakan Twitter untuk melancarkan serangan peribadi selain mengecam media.

Pemimpin tersebut juga menggunakan medium media sosial itu untuk melancarkan atau menguatkan teori konspirasi terutamanya tentang dakwaan tidak berasas seperti menuduh Obama mengintip perbualan telefon di Trump Tower sebelum pilihan raya.- Sinar Harian



Tags / Kata Kunci: Trump , Obama , Rumah Putih

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Jumaat, 13 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Farisha Irish - Tak Malu

Khamis, 12 Oktober 2017 5:22 PM

Punyalah Menangis, Pun Tak Lepas...

Khamis, 12 Oktober 2017 2:00 PM

Xpose Band 'Geng' Jurutera

Kolumnis

iklan

Iklan