Puluhan Penjenayah 'Serang' Brazil

Diterbitkan: Selasa, 25 April 2017 11:09 AM

(Ubah saiz teks)

ASUNCION: Jolokan 'rompakan abad ini' diberikan kepada sekumpulan penjenayah Brazil yang meletupkan peti besi mengandungi jutaan dolar hingga mengakibatkan seorang anggota polis maut.

Kira-kira 50 penyerang yang membawa bom tangan dan senjata tentera menyerang Ciudad del Este sekali gus mengubah bandar raya itu umpama zon perang.

Serangan selama dua jam itu menyasarkan firma keselamatan dan ibu pejabat polis.

Susulan itu, operasi bersama polis Paraguay dan Brazil dilancarkan bagi memburu penyerang di sempadan kedua-dua negara, berhampiran air terjun Iguazu popular.

Tiga suspek dibunuh, manakala sekurang-kurangnya empat tangkapan dibuat, kata Kementerian Dalam Negeri Paraguay menerusi Twitter.

Mesej Twitter menunjukkan gambar anggota polis berdiri bersebelahan mayat lelaki memakai pakaian celoreng samaran berlumuran darah.

Gambar lain dalam laman Twitter kementerian menunjukkan kereta yang digunakan untuk melarikan diri ditahan polis dan koleksi peluru.

Pihak berkuasa Brazil mengesahkan berlaku pertempuran tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

"Kejadian berbalas tembakan berlaku. Ada yang mati dan cedera tetapi kami tidak boleh memberikan butiran lanjut sekarang.

"Kami masih memburu mereka," kata sumber polis persekutuan bagi negeri Parana.

Sementara itu, Presiden Brazil, Michel Temer memberi jaminan untuk membantu polis Paraguay. - AFP

Tags / Kata Kunci: Brazil , Ciudad del Este

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan