Skandal Rasuah Daging, Brazil Dakwa 63 Individu - Berita Dunia | mStar

Skandal Rasuah Daging, Brazil Dakwa 63 Individu

Diterbitkan: Isnin, 17 April 2017 1:45 PM

(Ubah saiz teks)

RIO DE JANEIRO: Polis Persekutuan Brazil mendakwa seramai 63 individu kerana terbabit dalam skandal rasuah menjual daging yang telah tamat tempoh atau dicemari, lapor agensi berita China Xinhua.

Skandal itu menyebabkan sekurang-kurangnya 25 buah negara menggantung sementara import daging Brazil.

Antara tuduhan dikenakan ialah memalsukan rekod dan sijil perubatan, mengganggu urusan produk makanan, konspirasi dan rasuah.

Pada Mac polis melancarkan siasatan meluas dikenali operasi "Weak Flesh" terhadap kilang yang membungkus daging secara haram.

Operasi itu berjaya membongkar perbuatan kumpulan yang didakwa menyogok pegawai pemeriksa supaya mengabaikan tarikh tamat yang telah diubah, daging disuntik air serta pelbagai kesalahan lain berkaitan amalan kebersihan.

Sebanyak 21 kilang membungkus daging terlibat dalam skandal itu termasuk dua syarikat multinasional BRF dan JBS, pengeksport dan pengeluar daging terbesar dunia.

Brazil adalah pengeksport daging lembu dan ayam terbesar dunia serta pengeksport keempat terbesar daging babi.

Skandal menyebabkan Brazil kerugian kira-kira US$1.5 bilion pendapatan tahunan.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Brazil , Weak Flesh
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan