Rakaman Punca Dr Dao Diheret Keluar Tersebar

Diterbitkan: Khamis, 13 April 2017 9:20 AM

(Ubah saiz teks)

VIDEO terbaharu yang dirakam dalam sebuah pesawat United Airlines menunjukkan detik-detik yang menyebabkan seorang penumpang diheret keluar dari penerbangan tersebut menjadi tular di laman sosial.

Rakaman itu yang dipercayai dirakam seorang penumpang yang duduk di belakang Dr David Dao menunjukkan doktor di Kentucky itu memberitahu polis dia lebih rela dipenjarakan daripada keluar dari pesawat tersebut.

Malah Dr Dao kedengaran berkata "anda boleh heret saya".

Rakaman terdahulu menunjukkan Dr Dao diheret tanpa belas kasihan keluar dari pesawat yang akan berlepas dari Chicago ke Kentucky itu.

Tindakan kejam itu ternyata mengundang kemarahan netizen.

Dalam rakaman itu, Dr Dao turut bercakap menggunakan telefon bimbitnya ketika diminta untuk meninggalkan pesawat oleh polis.

Dr Dao bagaimanapun enggan mengikut arahan itu.

"Saya tidak akan meninggalkan pesawat ini. Saya seorang doktor dan perlu bekerja pada pukul 8 pagi," katanya.

Dr Dao turut kedengaran berkata dia akan membuat tuntutan mahkamah terhadap United Airlines dan tetap tidak berganjak dari tempat duduknya.

Seorang pegawai polis berkata kepada Dr Dao: "Saya terpaksa mengheret anda... anda tahu bagaimana ia akan berakhir bukan?

Dr Dao dalam keadaan marah berkata kepada pegawai polis itu bahawa dia boleh mengheretnya keluar dari pesawat itu dan lebih rela dipenjarakan.

"Anda boleh heret saya kemudian saya tidak akan pergi. Saya tetap berada di tempat duduk saya. Anda boleh heret saya," katanya.

Tags / Kata Kunci: Dr David Dao , United Airlines

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan